Tabung Haji diarah siasat dakwaan jemaah tipu status kesihatan

Tabung Haji diarah menyiasat dakwaan terdapat jemaah haji negara ini yang merahsiakan status kesihatan masing-masing bagi membolehkan mereka mengerjakan ibadah berkenaan. - Gambar hiasan 123RF
Tabung Haji diarah menyiasat dakwaan terdapat jemaah haji negara ini yang merahsiakan status kesihatan masing-masing bagi membolehkan mereka mengerjakan ibadah berkenaan. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan mengarahkan Lembaga Tabung Haji supaya menyiasat tindakan bakal jemaah haji di negara ini yang didakwa merahsiakan status kesihatan masing-masing bagi membolehkan mereka mengerjakan ibadah itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, perkara tersebut sudah ada dalam pengetahuan pihak berwajib dan satu siasatan diarah untuk dijalankan sebelum sebarang tindakan diambil.

“Saya sudah pun mengarahkan pihak Tabung Haji supaya menyiasat perkara ini bagi mengesahkan kebenarannya.

“Siasatan perlu dilakukan terlebih dahulu sebab kita tahu apabila jemaah berada di sana dalam suasana tempat yang baharu dan juga cuaca agak panas kemungkinan menyebabkan kesihatan mereka banyak terjejas,” katanya ketika ditemui pada Program Penyampaian Sumbangan kepada Mangsa Bencana Ribut dan Kebakaran di Kampung Siti Manis di sini pada Ahad.

Beliau sebelum itu menyampaikan sumbangan wang tunai kepada 13 keluarga mangsa bencana di kawasan Pengkalan Chepa di sini menerusi peruntukan berjumlah RM20,000.

Ahmad Marzuk (kanan) menyampaikan sumbangan wang tunai kepada mangsa kebakaran, Khadijah Ahmad di Kampung Siti Manis, Kota Bharu pada Ahad.
Ahmad Marzuk (kanan) menyampaikan sumbangan wang tunai kepada mangsa kebakaran, Khadijah Ahmad di Kampung Siti Manis, Kota Bharu pada Ahad.

Sementara itu, beliau mengingatkan kepada semua bakal jemaah supaya membawa bekalan ubat bagi kegunaan ketika mengerjakan ibadat haji.

“Saya menasihatkan kepada jemaah haji yang akan berangkat, sudah pergi dan ada lagi yang rombongan-rombongan akhir selepas daripada ini supaya menjaga kesihatan dan membawa bekalan ubat sepatutnya untuk mereka.

“Jemaah perlu memastikan keadaan mereka di sana dalam keadaan yang sihat dan boleh mengerjakan ibadah dengan sempurna,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan tindakan segelintir bakal jamaah haji negara ini cuba merahsiakan status sebenar tahap kesihatan peribadi akhirnya terdedah sendiri ketika mereka ada di tanah suci.

Keadaan itu terbongkar apabila penyakit tidak berjangkit yang sepatutnya mustahil dihidapi bakal jemaah itu dapat dikesan oleh doktor di Klinik Pesakit Luar, Pusat Rawatan Tabung Haji di sana.

Antaranya ialah kes penyakit darah tinggi tidak terkawal dan kencing manis tidak terkawal serta serangan jantung, jangkitan kuman pernafasan atas, radang paru-paru dan lelah atau asma.