Penyelewengan minyak masak subsidi di platform e-dagang

Minyak masak peket sekilogram yang dijual di platform jualan dalam talian.
Minyak masak peket sekilogram yang dijual di platform jualan dalam talian.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan mengesan penyelewengan minyak masak bersubsidi yang dijual kepada peniaga untuk tujuan komersial di platform e-dagang.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, laporan berkaitan penyelewengan yang dikesan berlaku sejak tiga hari lalu itu diterima oleh pihak Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.

Beliau yang juga Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi berkata, penyelewengan itu menyebabkan bekalan minyak masak bersubsidi iaitu peket polibeg sekilogram dalam negara menjadi tidak mencukupi.

“Penyelewengan yang jelas kerana minyak masak peket sekilogram ini sepatutnya dijual untuk pengguna domestik tetapi disalahgunakan untuk perniagaan.

“Kami sudah ada bukti minyak masak bersubsidi ini dijual kepada peniaga di platform jualan dalam talian yang jelas melanggar undang-undang dan sedang diteliti bagaimana ketirisan ini berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Tinjauan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di Pasar Siti Khadijah di sini, pada Sabtu.

Annuar (dua dari kiri) berjumpa peniaga semasa Tinjauan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, pada Sabtu.
Annuar (dua dari kiri) berjumpa peniaga semasa Tinjauan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, pada Sabtu.

Beliau berkata, kementerian juga menerima aduan berkaitan kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi dalam pasaran yang turut disebabkan oleh penyalahgunaan minyak masak bersubsidi itu oleh peniaga makanan.

“Apabila orang berniaga menggunakan minyak itu, bekalan menjadi tak cukup, apabila minyak masak tak cukup, maka mulalah berlaku kenaikan harga.

“Minyak masak bersubsidi yang ditetapkan harga RM2.50 polibeg sekilogram ini adalah barang kawalan untuk kegunaan di rumah atau domestik sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas perkongsian awam yang tular di laman sosial berkaitan kenaikan harga minyak masak botol di pasaran, Annuar berkata, minyak adalah komoditi yang diperdagangkan dan harga ditentukan berdasarkan harga antarabangsa.

“Selain minyak masak bersubsidi, minyak jagung atau minyak sawit yang diperbaiki di dalam botol dijual mengikut harga pasaran.

“Oleh sebab itu, kerajaan membelanjakan RM4 bilion untuk subsidi harga minyak masak supaya lebih murah dalam negara.

“Kerajaan amat menyarankan penggunaan minyak bersubsidi sebanyak 60,000 tan metrik sebulan yang disediakan untuk pengguna domestik,” katanya.