Menteri, timbalan dikurangkan bantu jimat perbelanjaan negara

Aiman Athirah (empat dari kanan) merasmikan Konvensyen AWAN Negeri Selangor Tahun 2022 di Grand Ballroom Bangi Resort Hotel pada Sabtu.
Aiman Athirah (empat dari kanan) merasmikan Konvensyen AWAN Negeri Selangor Tahun 2022 di Grand Ballroom Bangi Resort Hotel pada Sabtu.
A
A
A

BANGI - Jumlah menteri dan timbalan menteri perlu dikurangkan sebagai langkah penjimatan perbelanjaan negara ketika berdepan krisis.

Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional, Aiman Athirah Al Jundi berkata, rombakan perlu dilakukan dengan mengurangkan jumlah menteri dan mewujudkan kementerian yang diperlukan sahaja.

"Kita ada 31 menteri dan lima menteri kanan serta 38 timbalan menteri yang kebanyakan daripada mereka tidak berfungsi sejak zaman pandemik Covid-19 lagi.

"Kalau jumlah mereka boleh dikurangkan dan hanya ditumpukan kepada kementerian yang diperlukan ketika ini, di situ penjimatan boleh dibuat," katanya selepas merasmikan Konvensyen AWAN Negeri Selangor Tahun 2022 di Grand Ballroom Bangi Resort Hotel, pada Sabtu.

Turut hadir, Ketua AWAN Negeri Selangor, Rawiyiah Zakaria.

Aiman Athirah berkata, langkah itu dilihat lebih efektif berbanding cadangan memotong 20 peratus gaji menteri seperti saranan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz bagi membantu rakyat meningkatkan kos sara hidup.

Tambahnya, potongan gaji tidak memberi kesan kepada menteri kerana mereka boleh mendapatkan sumber lain sebagai gantian kepada gaji yang dipotong itu.

Pada perkembangan sama, beliau berkata, krisis ekonomi yang dihadapi negara ketika ini disebabkan kelemahan pengurusan pentadbiran kerajaan BN 60 tahun dahulu.

"Isu sebenar kita adalah kegagalan kerajaan BN 60 tahun yang lepas, kita bergantung dengan import bahan makanan berjumlah RM55 bilion.

"Apabila berlaku perang Ukraine-Rusia dan pandemik Covid-19, menyebabkan rantaian makanan dalam negara terganggu

"Kalau dahulu kerajaan boleh memanfaatkan negara kita sebagai sebuah negara pertanian tetapi maju, Malaysia tidak akan hadapi masalah serumit ini," katanya.