Bila bekas pengerusi PTPTN bersuara...

PTPTN
PTPTN
A
A
A
SHAH ALAM - Kerajaan PH disarankan agar meneruskan sahaja pendekatan sedia ada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di waktu BN menjadi kerajaan dan sesekali jangan berasa malu dengan perkara berkenaan.

Bekas Pengerusi PTPTN, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kerajaan PH sekali lagi membuat kenyataan pusingan U berkaitan kaedah kutipan bayaran balik ke atas peminjamnya dan adalah lebih baik mereka meneruskan sahaja pendekataan sedia ada.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Umno, berkata, di waktu pemerintahan BN pelbagai kaedah dan insentif menarik disediakan oleh PTPTN.

“BN telah mewariskan suatu yang baik kepada kerajaan PH jadi usahlah malu untuk meneruskannya walaupun dulu mereka mengkritik semua perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Lenggong itu berkata, kaedah yang disediakan PTPTN sebelum ini semasa pemerintahan kerajaan BN adalah lebih baik dan meyakinkan serta menjaga kepentingan semua kumpulan peminjam berbanding apa yang ingin Kerajaan PH umumkan.

“Dalilnya ada kerana di waktu BN dahulu kutipan balik adalah RM3.4 Bilion 2016 dan RM3.985 Bilion pada 2017. Kutipan ini telah membantu menurunkan sedikit kebergantungan PTPTN pada Institusi Kewangan bagi menyediakan dana kepada pelajar baru

“Malah apabila kerajaan BN mula menfokuskan kepada Skim Simpanan Pendidikan Nasional ( SSPNi ) maka trend mengurangkan kebergantungan rakyat kepada pinjaman sudah mula berlaku dan beralih kepada mengunakan simpanan untuk tujuan pendidikan,” katanya.

Shamsul Anuar memberitahu, berasaskan pengalaman sebagai pengerusi PTPTN sebelum ini, beliau sudah menjangkakan bahawa sukar untuk mereka melaksanakan Kaedah Potongan Gaji Berjadual (PGB) ini melainkan kerajaan PH sanggup menanggung risiko dan bersedia menghadapi kritikan rakyat.

“Ini kerana di waktu kerajaan BN dahulu kita telah mengkaji semua kaedah dan model ini, apabila kita mengkaji apa yang dilaksanakan di Australia dan New Zealand. Dapatan kita iannya sukar dilaksanakan di Malaysia.
Artikel Berkaitan:


“Tidak dinafikan bahawa kaedah PGB ini memang baik untuk PTPTN kerana memudahkan urusan kutipan balik dan kutipan akan meningkat. Namun ia sebaliknya pula akan menekan peminjam. Malah kaedah ini tidak bersifat mesra pelanggan sebagaimana amalan PTPTN dizaman BN dahulu,” katanya.

Shamsul Anuar menambah, apa yang berlaku kepada PTPTN hari ini adalah gambaran kegagalan kerajaan PH menunaikan janji PRU14 dan ketidakcekapan mengurus PTPTN.

“Hakikatnya banyak perkara perlu diteliti sebelum iannya dilaksanakan. Diantaranya ialah pendekatan ini memerlukan beberapa pindaan peraturan dan rundingan dengan majikan.

“Ia tidak mudah dilaksanakan begitu sahaja, pastinya ada perbezaan jumlah gaji dipotong antara mereka yang terlibat melalui potongan gaji wajib ini dengan mereka yang telah membuat potongan gaji secara sukarela sebelum ini. Ini mewujudkan ketidakadilan.

“Malah ia mewujudkan ketidak adilan kepada pelbagai pihak terlibat. Kemudian jika yang telah membuat potongan gaji sebelum ini disamakan dengan kaedah PGB pasti juga akan menimbulkan rasa tidak puas hati peminjam kerana jumlah potongan gaji mereka ada akan bertambah,” katanya lagi.

Shamsul Anuar turut memaklumkan, di waktu BN dahulu potongan gaji atas persetujuan peminjam dan itupun dengan mengadakan rundingan melalui kaedah #bolehbincang.

“Malah BN dahulu amalkan pensturukturan dan penjadualan semula pinjaman. Ini semua dengan tujuan menjaga kebajikan peminjam.

“Sayugia dinyatakan waktu saya di PTPTN, kita amalkan rundingan meja bulat sebelum sesuatu dasar baru dikemukakan. Ini membolehkan PTPTN mendapat pandangan pelbagai pihak berkepentingan terlebih dahulu sebelum sesuatu dilaksana.

“Jika laksana dahulu tanpa dapat pandangan awal inilah jadinya. Justeru itu sudah beberapa kali Kerajaan PH membuat U-trun, semua ini gambaran ketidakcekapan pentadbiran,” katanya lagi.