Rapid KL sahkan terima aduan gangguan seksual dalam tren

Dakwaan gangguan seksual seperti tular di media sosial pada Khamis.
Dakwaan gangguan seksual seperti tular di media sosial pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rapid KL mengesahkan menerima laporan daripada seorang penumpang wanita yang mendakwa dihimpit rapat oleh seorang lelaki ketika berada di dalam tren Aliran Transit Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya seperti tular di Twitter pada Khamis.

Rapid KL dalam satu kenyataan berkata, kejadian dilaporkan berlaku sewaktu pengadu menaiki tren berkenaan dari Stesen LRT Pasar Seni kira-kira jam 7 malam.

Menurut kenyataan itu, wanita tersebut mendakwa kurang selesa dengan tindakan seorang lelaki yang berdiri rapat di belakangnya.

"Satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Pantai oleh pengadu pada Jumaat.

"Pasukan Tindakan Khas (SAT), Polis Bantuan Prasarana sedang giat meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesahkan dakwaan tersebut," kata Rapid KL menerusi kenyataan pada Jumaat.

Rapid KL berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan polis berhubung kejadian itu.

Pada masa sama, Rapid KL menyeru kepada pengguna rel dan bas yang berhadapan dengan sebarang situasi cemas atau kurang menyenangkan agar terus menghubungi talian khidmat pelanggan di 03-78852585.

Pada Khamis, pemilik akaun Twitter dengan nama @Fyza_anuar berkongsi situasi menimpa rakannya yang didakwa menjadi mangsa gangguan seksual sewaktu menaiki kemudahan tren LRT Laluan Kelana Jaya.

Menerusi ciapan itu, pelaku dikatakan berusia lingkungan 30-an hingga 40-an dengan bentuk fizikal tinggi serta berbadan gempal.

"Dia (pelaku) masuk dari LRT Pasar Seni dan berdiri dekat dengan kawan saya, kawan saya terasa macam ada benda dekat dengan dia, ingatkan barang tapi bila lama-lama dia tak selesa. Dia rasa takut dan pusing ternampak seluar lelaki itu sudah basah.

"Kawan saya datang dekat saya menggigil dan menangis. Saya perasan juga seluar dia (pelaku) basah dan sempat tengok muka dia. Lepas tren berhenti dia terus keluar. Saya terdiam dan takut sebab muka dia menakutkan dan tak sempat berbuat apa-apa," menurut ciapan dikongsikan pada Khamis.

Menerusi perkongsian sama, wanita tersebut memberitahu telah membuat laporan kepada pihak LRT selain menasihatkan pengguna yang menggunakan kemudahan sama untuk berhati-hati.