Penetapan harga siling, subsidi pukal dibuat dengan teliti

Kebanyakan peniaga menjual ayam mengikut harga syiling RM9.40 yang ditetapkan ketika tinjauan harga syiling ayam dekat Pasar Pagi Kupang. -Foto Bernama
Kebanyakan peniaga menjual ayam mengikut harga syiling RM9.40 yang ditetapkan ketika tinjauan harga syiling ayam dekat Pasar Pagi Kupang. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Keputusan Jemaah Menteri menetapkan harga siling dan subsidi pukal bagi ayam dan telur dibuat dengan teliti demi kebaikan dan kesejahteraan semua peringkat rakyat dalam menghadapi masa sukar peningkatan kadar inflasi seluruh dunia yang turut melanda Malaysia, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Ia termasuk penternak, pembekal, peruncit dan pengguna terutama golongan B40 dan M40, menurut kementerian itu dalam kenyataan pada Jumaat.

Kerajaan menetapkan harga siling baharu di Semenanjung Malaysia bagi ayam bulat standard pada RM9.40 sekilogram, manakala harga telur ayam bagi gred A pada 45 sen sebiji, gred B (43 sen sebiji) dan gred C (41 sen sebiji), berkuat kuasa hari ini (1 Julai) untuk tempoh dua bulan.

Mesyuarat Jemaah Menteri mengambil keputusan untuk meneruskan subsidi dan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40 sekilogram. - Gambar hiasan
Mesyuarat Jemaah Menteri mengambil keputusan untuk meneruskan subsidi dan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40 sekilogram. - Gambar hiasan

Harga siling ayam di Langkawi, Sabah, Sarawak dan Labuan juga berkuat kuasa hari ini untuk tempoh dua bulan iaitu RM9.90 sekilogram di Langkawi, RM11 hingga RM11.30 di Sabah, RM9.80 hingga RM12.90 di Sarawak dan RM11.30 di Labuan.

Bagi telur ayam pula, harga gred A ditetapkan pada 47 sen sebiji di Sarawak kecuali Limbang dan Lawas pada 49 sen sebiji, gred B (45 sen hingga 48 sen sebiji), gred C (43 sen hingga 46 sen sebiji); di Sabah pada 50 sen hingga 51 sen sebiji bagi gred A, gred B (49 sen hingga 50 sen sebiji) dan gred C (48 sen hingga 49 sen sebiji).

Di Labuan pula, harga telur gred A ditetapkan pada 51 sen sebiji, gred B (50 sen sebiji) dan gred C (49 sen sebiji).

KPDNHEP berkata harga siling baharu itu adalah manifestasi keprihatinan kerajaan untuk membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat semua peringkat di samping mengekalkan tahap nutrisi dan kesihatan keluarga Malaysia untuk mendapatkan sumber protein yang diperlukan.

"Dengan pelaksanaan harga siling baharu ini, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM369.5 juta menjadikan jumlah keseluruhan subsidi pukal untuk ayam dan telur adalah sebanyak RM1.1 bilion sejak 5 Februari 2022," kata KPDNHEP.

Sebelum ini, kerajaan menetapkan harga maksimum runcit ayam dan telur bagi Semenanjung Malaysia bagi ayam bulat standard adalah pada RM8.90 sekilogram, dan harga maksimum telur ayam gred A ditetapkan pada 43 sen sebiji, telur ayam gred B pada 41 sen sebiji dan telur ayam gred C pada 39 sen sebiji.

KPDNHEP berkata ia akan terus meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dengan menggerakkan 2,200 pegawai penguat kuasa di seluruh negara bagi memastikan bekalan mencukupi dan penternak, pemborong dan peruncit mematuhi harga siling baharu yang telah ditetapkan di semua peringkat rantaian.

KPDNHEP berkata Op ATM (Op Ayam, Telur dan Minyak Masak) akan diteruskan bagi memastikan bekalan ayam, telur dan minyak masak sentiasa mencukupi dan stabil di pasaran.

"Op Samar juga akan dilakukan iaitu pegawai penguat kuasa akan melaksanakan operasi tanpa memakai pakaian seragam dan kenderaan kementerian serta melakukan ujian pembelian bagi memastikan peniaga patuh kepada undang-undang terutama bekalan, harga dan tanda harga," katanya.

KPDNHEP berkata ia yakin tahap pematuhan di peringkat peniaga terutama peruncit akan kekal tinggi seperti pada penetapan harga siling dan harga maksimum sebelum ini.

Katanya sebanyak 80,179 pemeriksaan telah dijalankan di premis menjual ayam dan telur sehingga 31 Mei lepas menyaksikan pematuhan melebihi 99 peratus dengan hanya melibatkan 121 kes.

Bagi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 serta Akta Kawalan Barang (AKB) 1961 pula, KPDNHEP berkata sebanyak 846,686 premis telah diperiksa sepanjang tahun ini dan pematuhan juga didapati tinggi melebihi 99 peratus dengan 3,832 kes bersabit dengan AKHAP 2022 dan 615 kes melibatkan AKB 1961.

KPDNHEP berkata tindakan terhadap peniaga akan diambil sekiranya mereka didapati tidak beretika, sengaja melanggar undang-undang, yang mencatut atau berkomplot secara kartel sejajar dengan punca kuasa yang diberikan kepada kementerian melalui AKHAP 2011, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Persaingan 2010.

"KPDNHEP akan terus bersama kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup rakyat secara holistik dan tuntas meliputi semua barangan kawalan dan subsidi termasuk minyak masak, petrol, diesel, LPG (gas petroleum cecair), tepung dan gula," katanya. - Bernama