Sila log masuk terlebih dahulu.

Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bincang isu orang tengah

Annuar mengadakan sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pasukan khas itu yang bertujuan membantu rakyat menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup di Bangunan Perdana Putra pada Khamis. - Foto Bernama
Annuar mengadakan sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pasukan khas itu yang bertujuan membantu rakyat menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup di Bangunan Perdana Putra pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Isu orang tengah atau kewujudan kartel adalah antara perkara yang dibincangkan pada mesyuarat pertama Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi selepas ditubuhkan semalam.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa yang juga pengerusi pasukan khas itu berkata, kerajaan tidak boleh membiarkan kuasa pasaran begitu sahaja sebaliknya akan membuat intervensi tertentu.

"Kita mengenal pasti dalam sistem pengeluaran ayam, telur, minyak masak dan lain-lain, kecenderungannya kalau tidak dikawal akan wujud kartel untuk memastikan mereka mempunyai satu model perniagaan yang dapat memaksimumkan keuntungan,” katanya pada sidang media di sini pada Khamis.

Beliau berkata, sehubungan itu setiap proses akan diteliti di setiap peringkat untuk mengenal pasti di mana tindakan di luar daripada kerangka undang-undang sedia ada dapat diambil untuk mengatasi isu kartel itu.

"Kita tahu sistem orang tengah memang wujud sekian lama dalam negara... tetapi ia menjadi salah apabila mereka mula membuat keuntungan secara melampau, ‘cekik darah’ kata orang.

"Jadi kita perlu mengkaji... sebagai contoh ayam dikeluarkan peladang dan dijual secara pukal kepada pengedar-pengedar (orang tengah yang tidak menternak ayam) dan menjual kepada peruncit. Kajian menunjukkan margin keuntungan kepada pengedar lebih besar daripada margin keuntungan yang diperoleh peruncit atau peladang itu sendiri,” katanya.

Justeru, situasi itu akan diteliti pasukan khas kerana tindakan itu menyebabkan kos yang terakhir adalah begitu tinggi dan terpaksa ditanggung pengguna.

"Sekiranya orang tengah mengambil keuntungan yang berlebihan dan kesempatan dalam suasana kesempitan yang bebannya ditanggung pengguna, keadaan itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja,” katanya dan menambah bahawa perlu ada intervensi tertentu oleh kerajaan demi menjaga kepentingan pengguna di peringkat bawah. - Bernama

Artikel Berkaitan: