Zahid nafi tuding jari kepada bekas Setiausaha Eksekutif

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan di Mahkamah Tinggi pada Khamis bahawa beliau menuding jari kepada bekas Setiausaha Eksekutifnya, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly berhubung pembayaran kad kredit peribadinya menggunakan cek Yayasan Akalbudi hanya untuk melepaskan tengkuk sendiri.

Ahmad Zahid, 69, juga menafikan bahawa keterangannya di mahkamah yang menyatakan beliau tidak mengetahui Mazlina membuat pembayaran kad kredit menggunakan cek yayasan itu adalah satu pembohongan.

Beliau berkata demikian semasa disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran pada prosiding membela diri atas 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi (YAB).

Raja Rozela: Saya katakan bahawa Datuk Seri tidak beritahu satu perkataan pun (untuk menafikan) kepada pegawai perakam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa kenyataan direkodkan kerana Datuk Seri sendiri yang membenarkan Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly (bekas Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid) menggunakan cek YAB untuk membayar kad kredit itu.

Ahmad Zahid: Tidak setuju.

Ahmad Zahid tidak bersetuju dengan cadangan Raja Rozela bahawa beliau mempunyai peluang untuk memberikan penjelasan kepada SPRM dan menafikan pembabitannya dalam pembayaran kad kredit peribadinya.

Raja Rozela: Tidak mengapa, saya katakan sama ada cek asal atau imej ditunjukkan kepada Datuk Seri, ia tidak menghalang untuk Datuk Seri memberikan penjelasan kepada SPRM.

Ahmad Zahid: Saya mohon beri penjelasan, saya berada dalam keadaan dures kerana kenyataan itu diambil sehingga 10 malam. Jadi apabila menandatangani kenyataan (SPRM) itu, saya tidak sedar cek hanya menggunakan cop, jadi saya tandatangan (keterangan SPRM) sahaja.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga tidak bersetuju dengan pendakwaan bahawa keterangannya di mahkamah adalah palsu kerana tidak sama dengan keterangan yang diberikannya kepada SPRM.

Raja Rozela: Ini adalah keterangan Datuk Seri (keterangan SPRM), jadi adakah Datuk Seri menyatakan keterangan itu tidak benar?

Ahmad Zahid: Yang Arif, apabila anda dalam keadaan dures dan kenyataan disediakan, apa pilihan yang anda ada?

Terdahulu, pada prosiding sebelah pagi, Ahmad Zahid menegaskan bahawa keputusan YAB untuk membuat pelaburan RM10 juta dalam syarikat Armada Holdings Sdn Bhd tidak direkodkan dalam resolusi yayasan disebabkan kesilapan setiausaha syarikat.

Ahmad Zahid berkata, sebelum resolusi berhubung pelaburan itu disediakan, beliau mengadakan perbincangan dengan dua pemegang amanah yayasan yang diasaskannya itu mengenai pelaburan berkenaan.

Raja Rozela: Kalau betul bagai dikata, RM10 juta itu adalah pelaburan, mengapa tiada sebarang perjanjian hitam putih antara YAB dan Armada Holdings?

Ahmad Zahid: Tiada, cuma persetujuan lisan.

Saksi itu bersetuju dengan Raja Rozela bahawa RM10 juta itu bukan jumlah yang sedikit dan tujuan asal penubuhan YAB adalah untuk membantu golongan asnaf dan miskin.

Raja Rozela: Tetapi Datuk Seri buat keputusan untuk labur RM10 juta kepada Armada Holdings yang bukan tergolong dalam golongan miskin.

Ahmad Zahid: Benar, Armada Holdings bukanlah asnaf. Tetapi ia (RM10 juta yang diberikan kepada Armada Holdings) adalah satu bentuk pelaburan yang akan mendapat pulangan pelaburan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 4 Julai ini. - Bernama