'Ke mana hilangnya suara NGO'

V Ganabatirau
V Ganabatirau
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin Pakatan Harapan (PH) Selangor mempersoalkan ke mana hilangnya suara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyokong kerajaan yang dahulunya lantang mengkritik PH.

Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Selangor, V Ganabatirau berkata, sepatutnya mereka keluar memperjuangkan nasib menimpa rakyat ketika ini.

Katanya, kejatuhan harga minyak sawit mentah, masa depan peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan harga barang melambung tinggi seperti langsung tidak dipedulikan.

Menurutnya, semasa PH memerintah pelbagai suara kedengaran kononnya PH menipu, tidak tahu kawal harga sawit dan pengkhianat apabila harga sawit jatuh terutamanya ketika India berhenti membeli sawit Malaysia.

"Mereka tuduh bahawa peneroka-peneroka Felda mengalami kerugian besar, ramai peneroka tertekan dan PH membunuh peneroka Felda Bumiputera kerana jualan sawit terjejas.

"Pelbagai pihak menunjuk perasaan dan telah menghantar memorandum kepada kerajaan PH.

"Namun hakikatnya, kini, harga sawit telah menjunam sebanyak 22 peratus daripada RM6,632 kepada RM4,922, iaitu penurunan yang terbesar dalam tempoh 35 tahun," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning berkata, apabila harga barangan naik sedikit pada zaman PH, ramai NGO yang mendesak kerajaan undur dan kini harga barangan melambung tinggi sehingga ke langit.

Katanya, mahasiswa juga mendakwa harga nasi campur bagi pelajar-pelajar adalah RM10 sebungkus manakala harga ayam, telur, minyak masak dan roti meningkat secara mendadak.

"Harga minyak petrol RON97 hampir mencecah RM5 dan pengangkutan awam tidak efektif. Kegagalan KTM komuter, LRT berjalan mengikut waktu ditetapkan menjejaskan perkhidmatan pengangkutan untuk orang awam.

"Di manakah NGO-NGO ini semasa semua ini berlaku," soalnya lagi.

Beliau berkata, sekiranya mereka berjuang untuk negara, agama dan bangsa, maka pada ketika inilah mereka perlu menyuarakan kebimbangan dan ketidakpuasan hati mereka.