Kedudukan Nazlan di Maybank tiada kaitan kes Najib: TPR

Najib Razak. - Foto Bernama
Najib Razak. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pihak pendakwaan dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd yang melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu berkata, kedudukan hakim perbicaraan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali di Maybank Berhad sebelum ini adalah tidak relevan dengan kes terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Mohd Ashrof Adrin Kamarul dalam afidavit balas yang difailkan di Mahkamah Persekutuan pada Rabu bagi membantah permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu berkata, bukti yang didakwa dicari itu mempunyai lebih banyak kaitan dengan satu lagi kes perbicaraan yang sedang dihadapi Najib melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berkaitan RM2.3 bilion.

"Tuduhan pemohon (Najib) ini tidak lain hanyalah untuk mengalih perhatian umum semata-mata bagi mengisytiharkan perbicaraan SRC sebagai terbatal. Saya katakan bahawa isu pengambilalihan 1MDB terhadap Tanjong Energy Holdings, penglibatan Maybank dan Hakim Mohd Nazlan dalam perkara 1MDB ini, tidak relevan dengan fakta berhubung pertuduhan SRC yang dihadapi oleh pemohon dalam rayuan ini.

"Isu-isu ini tidak relevan dengan rayuan SRC, sebaliknya ia berkaitan dengan kes 1MDB yang tidak didengar oleh Hakim Mohd Nazlan. Tiada bukti sebarang konflik kepentingan oleh hakim yang diterjemahkan kepada bahaya sebenar berat sebelah dalam perbicaraan SRC,” katanya.

Hakim Mohd Nazlan yang kini hakim Mahkamah Rayuan telah disahkan bahawa pada 2006 beliau memegang jawatan sebagai Peguam Am dan Setiausaha Syarikat Maybank Investment Bank Berhad.

Mohd Ashrof seterusnya berkata, peranan Hakim Mohd Nazlan dalam bank itu memang diketahui umum dan memang diketahui oleh Najib sepanjang masa, termasuk semasa permulaan dan penerusan perbicaraan seperti yang ditunjukkan oleh dokumen awam dan dokumen yang dimiliki pemohon.

Bagaimanapun beliau berkata, Najib tidak membantah untuk beliau (Nazlan) menjadi hakim perbicaraan ketika itu.

Pendakwa Raya itu menambah, tiada bukti bahawa hakim terlibat dalam penubuhan atau pemerbadanan SRC kerana 1MDB adalah pihak yang menubuhkan SRC pada ketika itu.

Mohd Ashrof berkata, dakwaan Najib mengenai pengetahuan yang dikatakan oleh Hakim Mohd Nazlan mengenai pinjaman Maybank kepada 1MDB tidak menghalang hakim itu daripada mendengar kes SRC.

Beliau berhujah bahawa bekas Perdana Menteri itu gagal menunjukkan sebarang kaitan antara dakwaannya dengan pertuduhan SRC yang didengar oleh hakim.

Beliau berkata, 1MDB dan SRC adalah entiti undang-undang yang berbeza, dengan SRC beroperasi secara berasingan dan bebas daripada 1MDB pada setiap masa.

"Semua bukti relevan dan material telah dikemukakan pada perbicaraan. Tiada penyembunyian bukti seperti yang didakwa dan pemohon tidak dinafikan perbicaraan yang adil. Permohonan yang difailkan ini adalah untuk memanjangkan prosiding SRC bagi tujuan kolateral.

"Saya menegaskan bahawa bukti terkumpul yang kini ingin dikemukakan oleh pemohon tersedia kepada pemohon dan dalam apa jua keadaan, tidak relevan dengan rayuan di Mahkamah Persekutuan,” katanya sambil menambah bahawa perkara itu telah ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Persekutuan pada Khamis.

Pada 7 Jun Najib memfailkan permohonan untuk mengemukakan bukti lanjut kepada Mahkamah Persekutuan bagi membatalkan keseluruhan perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta yang mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan.

Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 10 hari dalam bulan Ogos untuk mendengar rayuan terakhir Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas Najib bagi kesalahan itu.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, sebulat suara menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020. - Bernama