ZPP sedia pertimbang kadar skim zakat makanan, ubatan

Amran
Amran
A
A
A

GEORGETOWN - Zakat Pulau Pinang (ZPP) menerima baik cadangan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan akan mempertimbangkan untuk menilai semula kadar zakat yang berhak diterima golongan mustahiq terutamanya skim-skim zakat di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali berkata, skim-skim zakat tersebut melibatkan sara hidup termasuk bagi bekalan makanan bulanan serta bekalan ubat-ubatan bagi pesakit kronik dalam kalangan asnaf.

Menurutnya, bagi bekalan makanan bulanan ketika ini, sebanyak RM200 disalurkan pada setiap keluarga yang layak dan bagi bekalan ubatan pula di antara RM300 sehingga RM1,500 sebulan.

"Selain itu, ZPP juga menawarkan skim zakat yang diberikan secara sekali gus dengan kadar di antara RM600 sehingga RM6,000 bergantung kepada kes.

"Sementara zakat bagi rawatan perubatan ringan secara sekali gus boleh diberikan sehingga RM10,000 maksimum," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz menyarankan majlis agama Islam negeri-negeri menambah baik kadar pengiraan had kifayah zakat dan garis panduan untuk menentukan garis kecukupan seseorang dalam penentuan asnaf.

Katanya, tindakan kerajaan menamatkan subsidi ke atas barang keperluan tertentu dan peningkatan kadar inflasi perlu diambil kira sebagai penambahbaikan garis panduan tersebut.

Mengulas lanjut, Amran berkata, ZPP sudah pun menyemak semula kadar had kifayah umat Islam di Pulau Pinang pada 2021 yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang seperti yang disyorkan melalui satu kajian dan penyelidikan yang dijalankan pada 2020.

Sehubungan itu jelasnya, ZPP telah menaikkan kadar saguhati Hari Raya Aidilfitri yang lalu untuk golongan fakir dan miskin daripada RM450 kepada RM600, manakala bagi golongan fakir pula, ia dinaikkan daripada RM500 kepada RM700.

Menurutnya, kadar zakat bagi bagi tujuan sara hidup bulanan pula antara RM300 hingga RM600 bergantung kepada saiz keluarga, tidak termasuk bagi tujuan sewa rumah yang melibatkan kadar maksimum sebanyak RM400 sebulan.

"Terima kasih kepada pihak yang membangkitkan isu ini dan berharap masyarakat Islam terus menunaikan zakat kepada ZPP (amil yang berautoriti) sebagai tanda sokongan terhadap peranan dan usaha kami untuk mewujudkan keseimbangan sosio-ekonomi umat Islam khususnya di Pulau Pinang," katanya.