Terengganu salur insentif kepada penternak sempena Aidiladha

Azman
Azman
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu menyalurkan insentif RM100 kepada kira-kira 1,000 penternak ruminan tradisional dan berskala kecil di negeri itu sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang akan diraikan tidak lama lagi.

Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, langkah itu sebagai usaha meringankan beban akibat kenaikan harga makanan ternakan serta keprihatinan terhadap isu kutipan fi kebenaran atau permit sembelih luar daripada rumah sembelihan.

"Kerjaan prihatin berhubung rungutan yang disuarakan penternak termasuk isu berkaitan kutipan fi prosedur permohonan pindah atau sembelihan luar daripada rumah sembelih yang dikenakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu untuk ternakan bagi tujuan korban atau aqiqah.

"Prosedur ini ditetapkan bagi memastikan haiwan berkenaan bebas daripada sebarang penyakit serta menjamin keselamatan daging sembelihan.

"Jadi, pemberian insentif kepada penternak ruminan tradisional dan berskala kecil ini bagi meringankan bebanan mereka disamping sebagai tanda penghargaan serta menyantuni golongan terbabit yang terus cekal menternak untuk membekalkan daging kepada rakyat," katanya dalam kenyataan disini, pada Selasa.

Menurut Azman, kutipan fi sebanyak RM35 bagi kebenaran/permit sembelih luar daripada rumah sembelihan yang telah diwarta sejak 2009 di bawah seksyen 82 Akta Binatang 1953 [Akta 647 (Penetapan Pusat Veterinar dan Fi Bagi Perkhidmatan Lain).

"Peraturan ini bukan hanya untuk Negeri Terengganu sahaja tapi untuk seluruh negara. Ia juga bukan peraturan yang baru diwujudkan kerana ianya telah diwartakan sejak 2009 lagi.

"Cuma dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lepas, kerajaan negeri memberi pertimbangan untuk tidak menguatkuasakannya setelah mengambil kira situasi yang sedang dilalui rakyat," katanya.