Jurutera halang tugas anggota polis trafik ditahan

Tangkap layar video tular yang memaparkan pergelutan antara suspek dengan anggota polis trafik.
Tangkap layar video tular yang memaparkan pergelutan antara suspek dengan anggota polis trafik.
A
A
A

BALIK PULAU - Seorang jurutera direman tiga hari selepas dipercayai menghalang anggota polis trafik menjalankan tugas di tepi jalan Tun Dr Awang, berhampiran Penang International Commercial City, Bayan Baru pada petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, kejadian pada jam 6.30 petang itu berlaku apabila lelaki berusia 51 tahun berkenaan tidak berpuas hati dengan anggota trafik yang mengeluarkan saman atas kesalahan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

Menurutnya, suspek dikatakan ingkar dengan arahan polis supaya tidak membuat rakaman menggunakan telefon bimbit ketika pegawai polis berkenaan menjalankan tugas mengeluarkan saman terhadapnya.

"Pegawai polis berkenaan cuba menahan lelaki itu kerana mengahalang polis menjalankan tugas dan merampas telefon bimbit untuk tujuan siasatan namun suspek bertindak menggunakan kekerasan jenayah sehingga berlaku pergelutan antara mereka.

"Suspek berjaya ditangkap polis tidak lama kemudian dan direman selama tiga hari sehingga Sabtu," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kamarul Rizal berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada kewajipannya.

Katanya, suspek juga disiasat mengikut Seksyen 186 dan 188 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam serta mengingkari suatu perintah yang diisytiharkan oleh penjawat awam.

Pada Selasa tular video berdurasi 2 minit 55 saat yang memaparkan seorang lelaki bergelut dengan anggota polis trafik.

Lelaki berkenaan yang memakai seluar pendek dilihat cuba mendapatkan kembali telefon bimbit yang dirampas dan menafikan kesalahan dilakukannya.