Lembaga Disiplin siasat Tajuddin jika terima laporan: Zahid

Tajuddin mengadakan sidang media khas pada Isnin mengenai pemecatan jawatannya sebagai ahli MKT UMNO.
Tajuddin mengadakan sidang media khas pada Isnin mengenai pemecatan jawatannya sebagai ahli MKT UMNO.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Disiplin UMNO akan menyiasat tindakan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sekiranya mendapat laporan atau permintaan daripada ahli parti itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, saranan atau cadangan tindakan tertentu daripada lembaga itu akan dipertimbang dan diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti.

"Saya juga menghormati Perlembagaan parti di mana terdapat Lembaga Disiplin dan jika mendapat laporan, permintaan atau sebarang siasatan untuk sesuatu tindakan dilakukan, maka apa juga saranan oleh lembaga itu akan dipertimbang dan diputuskan oleh MKT," katanya kepada media di lobi Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa.

Dalam satu sidang akhbar khas pada Isnin, Tajuddin mendedahkan wujudnya akuan bersumpah (SD) oleh ahli Parlimen UMNO bagi menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Tajuddin digugurkan dari MKT UMNO ekoran tindakan Duta Besar Malaysia ke Indonesia itu yang mengkritik parti menerusi kenyataan, ucapan dan ceramah dalam beberapa mesyuarat tertutup yang dihadirinya.

Tajuddin juga turut digugurkan sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO selain kerap dilihat bercanggah pandangan dengan kepimpinan tertinggi parti dalam beberapa isu termasuk masa sesuai untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Sementara itu mengulas mengenai dakwaan terdapat pertemuan yang diketuai Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan dan ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak di rumahnya untuk mewujudkan memorandum memintanya letak jawatan sebagai Presiden parti, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak mengetahui perkara itu.

"Saya tidak mengetahui perjumpaan itu, jadi kita mesti menghormati Perlembagaan parti iaitu jika seseorang dipilih oleh perwakilan dan sesuatu permintaan (letak jawatan) itu mahu dilakukan, ianya juga ada peraturan parti yang membolehkan atau tidak seseorang itu berada di jawatan tersebut," katanya.