Op Patuh pencegahan Covid-19 ditamatkan

Hamzah
Hamzah
A
A
A

PUTRAJAYA - Op Patuh yang dilaksanakan bagi membanteras ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 di peringkat nasional secara bersepadu dan besar-besaran ditamatkan pada 25 Jun setelah setahun digerakkan berikutan negara memasuki fasa peralihan ke endemik.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 (JKPS) yang ditubuhkan untuk menggerakkan Op Patuh bagi menguatkuasakan PKP itu telah genap setahun pada 25 Jun lepas.

JKPS diterajui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan melibatkan 32 kementerian, jabatan dan agensi, menguatkuasakan arahan dan undang-undang di lapangan dalam usaha pencegahan Covid-19.

"Sepanjang Op Patuh dilaksanakan sehingga 25 Jun lepas, sebanyak 5.55 juta pemeriksaan telah dijalankan. Daripada jumlah itu, sebanyak 13,143 kompaun telah dikeluarkan dan sejumlah 6,383 premis diarahkan tutup," katanya dalam sidang media selepas majlis apresiasi JKPS di sini pada Selasa.

Hamzah berkata, kerajaan juga memutuskan untuk menamatkan pelantikan pegawai yang diberikan kuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 pada 30 Jun ini.

"Berikutan negara dalam peralihan ke fasa endemik, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk penguatkuasaan SOP dan protokol peralihan endemik menggunakan kuasa perundangan di bawah Akta Polis 1967," katanya. - Bernama