Terbuka Malaysia: Juara dunia pulang awal

Kean Yew
Kean Yew
A
A
A

HASRAT juara dunia, Loh Kean Yew untuk melangkah lebih jauh dalam acara perseorangan lelaki Terbuka Malaysia tidak kesampaian apabila ditunjukkan Lee Cheuk Yiu jalan keluar lebih awal pada pusingan pertama pada Selasa.

Aksi Arena Axiata Bukit Jalil itu menyaksikan Kean Yew dari Singapura terpaksa akur apabila dijinakkan pemain nombor 15 dunia dari Hong Kong, Cheuk Yiu, 21-19, 21- 12 dalam masa 39 minit.

Kekalahan itu menyaksikan harapan Kean Yew untuk berdepan pemain nombor satu dunia dan juara Olimpik, Victor Axelsen di pusingan kedua tidak kesampaian yang sebelum itu mengesahkan slot ke pusingan berikutnya selepas menewaskan Brice Leverdez berstatus ke-38 dunia dari Perancis, 22-20, 21-7 dalam aksi 30 minit.

Sementara itu, pemain pilihan keenam, Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia, turut mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain nombor 19 dunia dari India, Sai Praneeth Bhamidipati dalam aksi 50 minit yang menyaksikan kemenangan 21-15, 19-21, 21-9.

Dalam acara perseorangan wanita pula, pemain nombor satu dunia, Akane Yamaguchi juga terpaksa mengucapkan selamat tinggal lebih awal apabila disingkirkan pemain Indonesia, Gregoria Mariska Tunjung.

Lebih malang bintang badminton dari Jepun berusia 25 tahun itu dikejutkan dengan kekalahan straight set 14-12, 14-21 yang berlangsung selama 27 minit sekali gus merupakan kekalahan kedua Yamaguchi kepada bekas juara Remaja Dunia berusia 22 tahun itu dalam 10 pertemuan sebelum ini.