Zakat Pulau Pinang terima zakat perniagaan RM2.7 juta

Samsudin (belakang, lima dari kanan) dan Amran (belakang, tiga dari kiri) bergambar bersama pembayar zakat perniagaan dalam majlis yang diadakan pada Selasa.
Samsudin (belakang, lima dari kanan) dan Amran (belakang, tiga dari kiri) bergambar bersama pembayar zakat perniagaan dalam majlis yang diadakan pada Selasa.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Zakat Pulau Pinang (ZPP) menerima bayaran zakat perniagaan RM2.7 juta daripada sembilan syarikat korporat yang beroperasi di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad, Nor Azman Zainal mendahului penyerahan bayaran zakat perniagaan berjumlah RM124,249.47 bagi haul 2021 yang disampaikan kepada Setiausaha, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Samsudin Bakar.

Bank Muamalat Malaysia Berhad yang diwakili Ketua Jabatan Shariah, Mohd Izuwa Mahyudin menyerahkan bayaran zakat perniagaan berjumlah RM144,942.61 bagi haul 2021 dan Dagang Net Technologies pula menyerahkan bayaran RM130,000 yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Ahmad Syatibi Wan Abd Manan bagi haul 2022.

Selain itu, FGV Holding Berhad yang diwakili Regional Controller FGV Plantations Malaysia Sdn Bhd, Che Mohd Hanazi Che Lah menyampaikan bayaran zakat perniagaan bernilai RM221,628 dan Mydin Iman Ikhlas Sdn Bhd menyerahkan RM150,000 yang disampaikan oleh Pengarah Urusannya, Datuk Saduruddin Gulam Husen.

Turut melaksanakan tanggungjwab itu, Bank Islam Malaysia Berhad yang menyerahkan bayaran zakat perniagaan berjumlah RM365,000 bagi haul 2021 yang disampaikan oleh Penolong Pengurus Besar, Bahagian Rangkuman Kewangan Bank Islam Malaysia Berhad, Mohd Izhar Pawancik.

Etiqa Takaful Berhad yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Utara, Haslinda Omar menyampaikan zakat perniagaan berjumlah RM449,930 bagi haul 2021 dan diikuti penyerahan zakat perniagaan dari Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) bernilai RM384,357.07 bagi haul 2021 disampaikan Ahli Pengarah Jemaah Nafas, Datuk Ismail Umar.

Uda Land North Sdn Bhd turut membuat pembayaran zakat korporat tertinggi iaitu RM713,212.90 bagi haul 2020 yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zainudin Deni.

Hadir menyaksikan penyerahan pembayaran zakat perniagaan itu, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali dan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Sementara itu, Amran ketika berucap pada majlis itu berkata, ZPP terus bertahan melaksanakan fungsinya berkhidmat menjaga amanah pembayar zakat dan membela hak golongan asnaf dengan penuh gigih dan prihatin.

Jelasnya, tugas dan tanggungjawab ZPP ini dipermudahkan lagi dengan adanya ramai individu yang berhati mulia dan syarikat-syarikat korporat yang diberikan kelapangan dan keluasan rezeki oleh ALLAH untuk membayar zakat mereka.

"ZPP dan pembayar zakat terus bekerjasama dan berazam untuk membantu golongan asnaf yang memerlukan terutama di waktu ujian ekonomi dan kesihatan yang suram akibat impak pandemik Covid-19 yang lalu.

"Inilah peranan yang perlu dilaksanakan oleh Zakat Pulau Pinang selaku amil zakat di Pulau Pinang iaitu menghubungkan pembayar (iaitu muzakki) dengan dengan mustahik zakat (iaitu golongan penerima zakat)," katanya.

Amran berkata, selaras peralihan endemik pasca krisis pandemik Covid-19 ini, ZPP telah merangka strategi pemerkasaan asnaf melalui pelbagai program agihan yang produktif.

Katanya, antara yang dilakukan dengan membangunkan skim agihan yang lebih efektif yang bermatlamat menambah pendapatan asnaf dan seterusnya dapat menukar mustahiq kepada muzakki.