Rasuah: Kerani tapak didenda RM3,500

Tertuduh (kiri) dikenakan denda RM3,500 mengaku salah meminta dan terima rasuah. -Foto SPRM
Tertuduh (kiri) dikenakan denda RM3,500 mengaku salah meminta dan terima rasuah. -Foto SPRM
A
A
A

SEREMBAN - Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa menjatuhkan hukuman denda RM3,500 terhadap seorang kerani tapak selepas mengaku salah atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah lima tahun lalu.

Hakim Rushan Lutfi Mohamed menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, Mohd Nor Afendi Abd Wahab, 31 selepas dia membuat pengakuan berkenaan setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Bagaimanapun, sekiranya tertuduh gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjara tiga bulan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh selaku kerani tapak sebuah syarikat konsultan telah meminta dan menerima wang rasuah berjumlah RM240 dan RM1,500 daripada seorang pengarah projek sebuah syarikat pembinaan.

Ia sebagai balasan memberi kebenaran untuk memulakan kerja-kerja di tapak projek membina dan menyiapkan bangunan Fakulti Pengajian Bahasa Utama di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Bandar Baru Nilai di sini.

Kesalahan itu dilakukan pada 2 Jun 2017 dan 13 Jun 2018.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.