Model silang pendapat mampu perkasa anak muda

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KEBANYAKAN anak muda khususnya yang berkecimpung dalam dunia politik atau mana-mana arena disarankan untuk tidak terlampau mengehadkan diri, malah harus memperbanyakkan perbincangan perihal negara, politik atau isu semasa secara silang dengan semua pihak tanpa melihat orientasi seseorang agar kita boleh membuat perbandingan secara lebih meluas.

Sedih sekali, pemimpin muda kini terlampau khuatir untuk duduk atau berbincang dengan pihak yang berlainan khususnya mereka yang tidak sama pegangan politik, kerana mereka khuatir sama ada akan menjadi mangsa stigma atau takut dilabel sebagai ‘duri dalam daging’ atau pelbagai panggilan dari kumpulan mereka itu sendiri.

Sebagai pewaris negara, anak muda harus faham skop politik bukan soal kepartian sahaja, malah merupakan tanggungjawab sebagai warganegara untuk kelangsungan pemerintahan dan pentadbiran negaranya.

Jangan kita menjadi anak muda yang hanya pandai mengampu kepada pemimpin atau taksub dengan kepartian atau lebih mudah dikatakan sebagai ‘hamba politik’ tanpa melihat fakta di sebalik sesuatu perkara itu semata-mata hanya untuk mencapai cita-cita dalam politik, ada kalanya amat perlu untuk kita ‘call spade a spade’ bukan menjadi pak tunduk atau berdiam diri sekiranya sesuatu perkara itu melanggari prinsip diri kita sendiri.

Mengambil diri saya sebagai contoh terdekat untuk dikaitkan, sebagai ahli yang aktif dalam parti DAP selama lebih kurang 10 tahun, tetapi apabila bertanya siapa pemimpin yang saya amat sanjungi, saya akan berkata - Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, pencapaian beliau tidak perlu lagi diungkapkan dengan kata-kata malah seluruh negara ketahui siapa ‘Bapa Ekonomi Negara’ dan apa jasa beliau kepada tanah air ini.

Adakah ini bermaksud saya khianat kepada parti atau pemimpin DAP ? Secara peribadi, saya yakin persoalan ini tidak sama sekali benar, kita boleh sahaja duduk dengan mana-mana pihak yang barangkali mempunyai perbezaan pendapat atau berlainan pegangan politik, tetapi yang penting kita harus mempunyai pegangan dan prinsip diri sendiri, serta untuk celik akal apabila berkata-kata. Itu baru dikatakan matang dalam berpolitik.

Saya akui, walaupun ada segelintir yang mungkin bersetuju dengan pendapat saya, namun mungkin akan ada juga segelintir yang berasa pendekatan seperti ini sebagai ancaman dalaman parti, serta dapat mewujudkan suasana kurang selesa dalam kalangan rakan seperjuangan itu sendiri. Stigma tersebut barang kali akan menutup pelbagai ruang untuk anak muda terus maju dalam dunia politik.

Perkara ini bukan sahaja kepada anak muda, malah kepada pemimpin atasan parti juga, anda harus memberi kebebasan kepada anak-anak muda untuk mengadakan interaksi atau diskusi persendirian dengan sesiapa sahaja yang mereka mahu dan bukannya menetapkan dengan siapa yang boleh mereka berjumpa dan berbincang mengenai perihal politik,

Kita harus ingat, Jumlah pengundian pengundi muda Undi 18 dianggarkan hampir enam juta pengundi baharu. Angka itu jelas menunjukkan kebarangkalian tsunami anak muda boleh berlaku pada pilihan raya akan datang. Sekiranya anak muda bersikap terlampau mengehadkan diri, dengan hanya mendengar pendapat dari satu belah pihak maka ini akan mengakibatkan mereka kurang pendidikan literasi politik serta terkecimpung bersama kumpulan pemimpin status quo yang tidak punya idealisme, intelektualisme dan aktivisme.

Perkara ini bukan sahaja dalam politik malah dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga, saya sendiri telah melibatkan diri dalam pelbagai NGO sejak 10 tahun yang lalu. Penglibatan saya pernah disoal oleh pelbagai pihak, ada yang menyatakan NGO tersebut merupakan kroni UMNO, ada juga yang menyatakan NGO tersebut penuh dengan pemimpin-pemimpin yang tidak berkaliber, tetapi ada apa dengan persoalan seperti itu ? Kita harus ketahui apa matlamat apabila kita melibatkan diri dalam sesuatu pertubuhan, iaitu untuk menabur bakti kepada masyarakat, sekiranya kita dapat mencapai matlamat tersebut kenapa perlu endah dengan perkara lain ?

Penglibatan saya secara aktif dalam dunia NGO serta mengamalkan sifat terbuka ini juga telah memberi peluang untuk saya menerima Anugerah ‘Global Youth Leadership Award 2022’ anjuran Global Youth Parliament dan United Nation pada 24 Jun 2022 di Bangkok.

Seramai 200 orang perwakilan telah hadir dari 84 buah negara dan diwakili oleh pelbagai agensi. Terdapat ramai juga anak-anak muda dari pelbagai parti politik yang berlainan turut hadir dalam majlis tersebut, dan semuanya boleh sahaja duduk dan berbincang untuk bersilang pendapat dan mendapat satu kata sepakat. Itu yang paling penting untuk anak muda.

Jangan kita menjadi mangsa yang dipancing untuk mendekati politik dengan cara yang salah. Golongan muda perlu secara terbuka menolak dan menentang politik kebencian, fasisme bersama elemen perkauman.

*Muhammad Shahrizul Muiz ialah Penasihat Malaysian Youth Generation Organization