Keputusan kes rogol Paul Yong Rabu ini ditangguh

Paul Yong hadir di Mahkamah Tinggi Ipoh sebelum ini.
Paul Yong hadir di Mahkamah Tinggi Ipoh sebelum ini.
A
A
A

IPOH - Keputusan perbicaraan kes rogol membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong pada Rabu ini ditangguhkan.

Penangguhan ke tarikh baharu 27 Julai depan itu dimaklumkan Datuk Rajpal Singh yang mengetuai pasukan pembelaan.

Beliau berkata, permohonan penangguhan dikemukakan ke Mahkamah Tinggi Ipoh berikutan kematian ibu kepada anak guamnya itu, kelmarin.

Menurutnya, wanita berusia 83 tahun terbabit meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh akibat kegagalan jantung.

"Walaupun majlis pengebumian telah selesai, anak guam dan keluarga masih perlu mengikuti tempoh berkabung serta upacara lain sepanjang minggu ini," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Pada 17 Mei lepas, Mahkamah Tinggi Ipoh menetapkan 29 Jun sebagai tarikh keputusan sama ada bekas Exco Kerajaan Negeri Perak itu didapati bersalah atau dibebaskan atas tuduhan merogol pembantu rumahnya.

Paul Yong pada 7 Disember lalu telah diperintahkan membela diri terhadap tuduhan merogol selepas pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie terhadap pertuduhan berkenaan.

Sepanjang prosiding tersebut, pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi dibantu dua Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi dan Mohd Fitri.

Pada 23 Ogos 2019, Paul Yong ketika itu Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri didakwa merogol seorang wanita di dalam sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan antara pukul 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai 2019.

Pertuduhan terhadap beliau dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.