Kanak-kanak 11 tahun dikhuatiri lemas

Pasukan bomba dan penyelamat terpaksa menghentikan operasi mencari mangsa kerana cuaca gelap.
Pasukan bomba dan penyelamat terpaksa menghentikan operasi mencari mangsa kerana cuaca gelap.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun dikhuatiri lemas ketika bermandi berhampiran Jeti Pantai Bersih di sini, pada petang Isnin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, kanak-kanak dikenali Muhammad Mikhaeil Muqmin Abdullah dikatakan mandi bersama tiga lagi rakannya sebelum dia dilaporkan lemas.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Faizwan Che Amat berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu jam 5.45 petang sebelum sepasukan anggota penyelamat bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, sebaik sampai di lokasi, pihaknya dimaklumkan kanak-kanak itu dibawa arus ketika sedang mandi dan cuba diselamatkan seorang pemancing namun gagal.

“Seorang pemancing yang melihat kejadian itu cuba menyelamatkan mangsa namun dia turut lemas dan diselamatkan orang awam.

"Operasi mencari dan menyelamat mangsa turut melibatkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) namun mangsa gagal ditemui," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, pada Isnin.

Mohd Faizwan berkata, berikutan cuaca gelap, operasi mencari dan menyelamat mangsa terpaksa dihentikan dan akan disambung jam 7 pagi Selasa.