Dua bilik darjah sekolah berusia 88 tahun terbakar

Kebakaran bangunan satu tingkat SJK (T) Batu Arang pada Isnin.
Kebakaran bangunan satu tingkat SJK (T) Batu Arang pada Isnin.
A
A
A

RAWANG - Dua bilik darjah di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Jalan Batu Arang di sini yang berusia 88 tahun musnah dalam kebakaran pada Isnin.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, panggilan berhubung kejadian diterima pada jam 11.41 pagi.

Menurutnya, kejadian membabitkan dua kelas yang digunakan bagi penyimpanan alat bantu mengajar.

Katanya, dua jentera dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Batu Arang dan BBP Sungai Buloh terlibat dalam operasi mengawal kebakaran di bangunan satu tingkat itu.

"Kebakaran melibatkan bilik darjah berkeluasan 450 kaki persegi setiap satu. Satu daripada kelas tersebut musnah 100 peratus manakala sebuah bilik lagi terjejas lima peratus.

"Kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.57 pagi," katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Anggota bomba memadamkan kebakaran yang berlaku bangunan satu tingkat SJK (T) Batu Arang pada Isnin.
Anggota bomba memadamkan kebakaran yang berlaku bangunan satu tingkat SJK (T) Batu Arang pada Isnin.

Beliau berkata, kejadian tidak melibatkan mangsa susulan pihak guru telah melakukan pengosongan bangunan dan menempatkan pelajar di tempat berkumpul.

"Tiada pelajar di dalam kelas yang terbakar itu. Bilik berkenaan hanya menyimpan barang-barang keperluan pembelajaran untuk subjek Rekabentuk Teknologi (RBT) dan tiada sesi pembelajaran di kelas berkenaan," katanya.

Tambahnya, punca kejadian masih dalam siasatan.