Tanah runtuh punca gangguan bekalan, air keruh di Springhill

Salleh (kiri) dan Choo Ken Hwa ketika menunjukkan keadaan Hutan Simpan Gunung Berembun.
Salleh (kiri) dan Choo Ken Hwa ketika menunjukkan keadaan Hutan Simpan Gunung Berembun.
A
A
A

SEREMBAN - Gangguan bekalan air di Springhill, Port Dickson yang berlanjutan sehingga Isnin berpunca daripada kekeruhan air mentah kesan kejadian tanah runtuh di kawasan Hutan Simpan Gunung Berembun akibat banjir pada 18 Disember tahun lalu.

Pengarah Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains), Ir Mohd Yazid Ahmad berkata, air sungai berkenaan dirawat di Loji Rawatan Air (LRA) Linggi sebelum disalurkan ke kawasan Springhill.

"Sejak berlakunya banjir Disember tahun lepas keadaan air mentah semakin membimbangkan menyebabkan ada masa loji terpaksa mengurangkan pengoperasian pam atau menghentikan pam air ke Kolam Sirusa bagi menepati piawaian air minum kebangsaan.

"Punca utama operasi loji dihad atau dihentikan adalah kerana tingkat kekeruhan air (NTU) yang tinggi melebihi 5,000," katanya kepada pemberita selepas lawatan ke LRA Pantai di sini pada Isnin.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lukut yang juga Exco Perpaduan, Penerangan dan Integrasi Nasional Negeri Sembilan Choo Ken Hwa dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Saleh Awaludin.

Mohd Yazid berkata, LRA hanya boleh merawat jika NTU di bawah 1,000 dan sekiranya lebih, LRA memerlukan masa sekurang-kurangnya lima hingga enam jam atau setengah hari untuk memproses kekeruhan air.

Katanya, dalam tempoh menunggu tersebut daerah Lukut terputus bekalan air.

"Air sungai yang keruh menjadi keputihan kerana terdapat bendasing seperti pasir halus sebati dalam air, sampah pula menyebabkan muka sauk dan sistem penyaringan skrin tersumbat," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pengoperasian LRA Linggi melibatkan bekalan 70 peratus air ke daerah Port Dickson dan selebihnya ke Seremban dan Rembau.

Jelasnya, Sains telah mengambil tindakan untuk jangka masa pendek dan panjang dalam usaha menangani masalah tersebut.

"Antara tindakan jangka pendek yang diambil adalah pemasangan alat kawalan tekanan dan menyuntik sistem bekalan air dari laluan 24 inci ke 36 inci.

"Selain itu, sistem air dari LRA Sawah Raja sehingga ke batu 4 dipanjangkan, 'valve-valve' berkaitan bagi mempercepatkan bekalan sampai ke kawasan Springhill dilaraskan serta penghantaran tangki statik ke kawasan gangguan," katanya.