Unimas berpotensi hasilkan pakar bantu krisis bekalan makanan mentah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUCHING - Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berpotensi memainkan peranan menghasilkan pakar dalam bidang pertanian moden yang semakin diperlukan berikutan krisis bekalan makanan mentah yang berlaku di negara baru-baru ini, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya, komitmen daripada warga serta graduan universiti itu diperlukan bagi menzahirkan hasrat kerajaan dalam membantu menghasilkan kepakaran dalam bidang ini.

"Kerajaan memerlukan anda semua untuk menterjemahkan komitmen ini ke dalam kehidupan harian anda, dan memacu kelestarian kepakaran anda ke dalam bidang masing-masing," katanya ketika berucap pada majlis Konvokesyen Komemoratif Unimas di sini, pada Isnin.

Beliau yang juga Pro-Canselor Unimas berkata, memandangkan Sarawak mempunyai tanah yang luas, negeri itu seharusnya boleh menjadi pengeksport makanan dan bukannya pengimport makanan.

"Kemajuan teknologi dalam era Revolusi Industri 4.0 ini, graduan seharusnya menjadi lebih kreatif serta sentiasa mencari peluang dan jalan penyelesaian dalam situasi yang bakal dihadapi," katanya.

Abang Johari turut mengajak graduan Unimas untuk bekerjasama untuk merealisasikan masa depan negara menjelang 2030.

Majlis konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 3,695 graduan memperoleh ijazah masing-masing dalam pelbagai peringkat pengajian. - Bernama