Ubah tarikh lawatan anak, bekas isteri SM Faisal dijel 7 hari

Mahkamah Tinggi Syariah memerintahkan bekas isteri seorang ahli perniagaan terkenal, Emilia Hanafi, 43, menjalani hukuman penjara selama tujuh hari bermula Isnin.
Mahkamah Tinggi Syariah memerintahkan bekas isteri seorang ahli perniagaan terkenal, Emilia Hanafi, 43, menjalani hukuman penjara selama tujuh hari bermula Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bekas isteri SM Faisal SM Nasimuddin Kamal, Emilia Hanafi, 43, dipenjara tujuh hari bermula Isnin di atas kegagalannya untuk mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Syariah berhubung tarikh lawatan tiga anaknya.

Ketika ditemui di luar mahkamah, peguam syarie, Nazri Yahya berkata, anak guamnya ditahan selepas hadir untuk serah diri di mahkamah ini.

Menurutnya, Emilia ditahan di Penjara Wanita Kajang.

"Selepas pemenjaraan itu, anak guam saya akan hadir untuk prosiding di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur yang ditetapkan pada 6 Julai," katanya.

Emilia tiba di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada jam 9.50 pagi untuk prosiding komital berhubung isu mengubah tarikh lawatan tiga anaknya untuk bersama bapa mereka.

Emilia yang hadir memakai jubah dan selendang putih tiba di mahkamah dengan ditemani peguam Siti Zabedah Kasim atau lebih dikenali sebagai Siti Kassim serta penyokongnya.

Pada 4 September 2019, Mahkamah Tinggi Syariah di sini menjatuhi hukuman tujuh hari ke atas Emilia kerana menghina mahkamah ekoran mengubah tarikh lawatan tiga anaknya untuk bersama bapa mereka, namun beliau dibebaskan dengan jaminan RM5,000 sementara menunggu rayuan.

Pada 8 Jun, Emilia memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar bidang kuasa Mahkamah Syariah di sini yang menjatuhi hukuman penjara berkenaan.

Permohonan dibuat menerusi Tetuan Nizam Bashir & Associates di Mahkamah Tinggi dan menamakan SM Faisal, 43, serta bekas ibu mentuanya, Puan Sri Zaleha Ismail, 70, sebagai responden.

Turut dinamakan ialah Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur dan Kerajaan Malaysia.

Pada 15 Jun lalu, Mahkamah Majistret di sini mengeluarkan waran tangkap terhadap Emilia kerana gagal hadir sebagai saksi pendakwaan, dalam kes jenayah terhadap bekas suaminya.

Hukuman terhadap Emilia menyebabkan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah mengeluarkan kenyataan bahawa wanita Islam masih didiskriminasi di bawah sistem undang-undang syariah Malaysia yang disiarkan oleh sebuah portal.

Pada 25 April lalu, Maria Chin dijatuhi hukuman penjara tujuh hari oleh Mahkamah Tinggi Syariah selepas didapati bersalah menghina mahkamah dengan mengkritik keputusan mahkamah itu yang menjatuhkan hukuman penjara ke atas Emilia.