Gesa longgar syarat penumpang bas persiaran

 Simon Sim
Simon Sim
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pelancongan digesa untuk melihat semula syarat perkhidmatan bas persiaran sedia ada yang wajib membawa pemandu pelancong bersama sekiranya jumlah penumpang melebihi tujuh orang.

Pengerusi Persatuan Pemandu Van Persiaran Kuala Lumpur dan Selangor, Simon Sim berkata, syarat tersebut dilihat membebankan pemandu bas persiaran kerana mereka perlu mengeluarkan kos sendiri untuk mengambil khidmat pemandu pelancong yang kebiasaannya berharga antara RM200 ke RM250.

Beliau berkata, jika pemandu bas persiaran ditahan dan didapati tidak mengikuti syarat tersebut, mereka boleh dikenakan denda sebanyak RM2,000.

Selain itu, syarat tersebut dilihat hanya menguntungkan pengusaha perkhidmatan e-hailing yang bebas menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) dan membawa lebih daripada tujuh penumpang tanpa dikenakan apa-apa syarat.

"Saya mewakili persatuan memang tak puas hati dengan perkara ini kerana ia menjejaskan perniagaan atau perkhidmatan bas persiaran yang dijalankan.

"Kita harap Kementerian Pelancongan dapat memberi kelonggaran dengan menetapkan syarat baharu iaitu bagi 10 penumpang ke bawah, pemandu bas persiaran tidak perlu membawa bersama pemandu pelancong," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Selain itu, katanya beliau juga memohon Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) serta Agensi Penguatkuasaan Awam Darat (APAD) untuk sama-sama melihat perkara ini termasuk menangguhkan perkhidmatan e-hailing buat sementara waktu yang dilihat memberi kesan besar kepada pengusaha bas persiaran.

"Semua pihak berkaitan perlu duduk berbincang sehingga mencapai satu penyelesaian yang adil untuk semua khususnya pengusaha bas persiaran," katanya memberitahu akan menghantar memorandum dalam masa terdekat berkenaan hal tersebut.

Artikel Berkaitan: