‘KPM tolong selesaikan segera’

Laporan Sinar Harian tentang isu beberapa pelajar mendapat gred T dalam SPM. (Gambar dalam: MOHAMAD ALI )
Laporan Sinar Harian tentang isu beberapa pelajar mendapat gred T dalam SPM. (Gambar dalam: MOHAMAD ALI )
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Lembaga Peperiksaan perlu segera menyelesaikan isu pelajar mendapat gred T (Tidak Hadir) dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sedangkan mereka hadir menduduki peperiksaan, agar tiada pihak yang teraniaya.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, sebarang kelewatan akan menjejaskan peluang pelajar terlibat untuk menyambung pelajaran ke mana-mana institusi.

“Dalam situasi ini, perkara pertama yang perlu dibuat adalah melaporkan kepada pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Lembaga Peperiksaan agar mereka boleh menyiasat serta memastikan pelajar yang dimaksudkan itu memang benar-benar hadir menduduki kertas peperiksaan tersebut.

“Kedua, pihak KPM dan Lembaga Peperiksaan perlu mengambil tindakan segera kerana ia berkait masa depan mereka.

“Kata putus tentang isu ini perlu dibuat dalam tempoh dua minggu kerana mereka memang tidak boleh ke mana-mana tanpa keputusan penuh SPM, mereka akan teraniaya,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad pada Sabtu.

Beliau mengulas tentang dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama Damansara 1 iaitu Nur Adeela Huda Muhammad Azmil dan Nur Qamarina Munirah Mustaqim yang diberikan gred T iaitu Tidak Hadir dalam keputusan SPM bagi subjek Bahasa Melayu meskipun mereka menduduki peperiksaan terbabit.

Gred T yang diperoleh itu akan menyukarkan mereka membuat permohonan memasuki universiti berikutan Bahasa Melayu merupakan subjek wajib lulus.

Mengulas lanjut, Mohamad Ali berkata, pihak sekolah dan PPD perlu memainkan peranan kerana tanpa laporan mereka, ia mungkin akan menjejaskan masa depan pelajar terlibat.

Lebih teruk, ia akan memberikan kesan jangka masa panjang secara moral dan psikologi jika tidak dibantu dengan sewajarnya.