Bantuan untuk Keluarga Malaysia

Pengumuman Ismail Sabri bagi mengawal harga ayam, minyak masak peket dan tarif elektrik sedikit sebanyak mengurangkan keresahan dan bebanan ditanggung rakyat. (Gambar dalam dari kiri : AHMAD AZRIN dan SHAZALI )
Pengumuman Ismail Sabri bagi mengawal harga ayam, minyak masak peket dan tarif elektrik sedikit sebanyak mengurangkan keresahan dan bebanan ditanggung rakyat. (Gambar dalam dari kiri : AHMAD AZRIN dan SHAZALI )
A
A
A

PENGUMUMAN kerajaan pada Jumaat, bahawa harga ayam tidak diapungkan dan tarif elektrik serta air kekal jelas menunjukkan kecaknaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap keresahan rakyat.

Respons segera yang diberikan Ismail Sabri itu, nyata menenangkan semula rakyat yang khuatir dengan kos sara hidup dijangka melambung bermula 1 Julai ini.

Sejak menerajui negara, Ismail Sabri dilihat telah berusaha menambah baik beberapa inisiatif yang diperkenalkan Barisan Nasional (BN) melibatkan subsidi dan bantuan untuk rakyat.

Penganalisis ekonomi, Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, pelbagai inisiatif yang pernah dilakukan BN sebelum ini terus diperbaiki dan dipertingkatkan oleh Ismail Sabri dengan mengambil kira kos sara hidup semasa rakyat yang kian meningkat.

Katanya, menyedari keluh kesah rakyat juga, Ismail Sabri cepat bertindak dengan menarik balik keputusan untuk mengapungkan harga ayam.

"Keputusan kerajaan untuk terus menetapkan harga siling bagi ayam mentah adalah sangat tepat kerana harganya disifatkan sebagai tidak sesuai untuk diapungkan.

"Ia kerana ayam adalah sumber makanan utama atau corak pemakanan kepada rakyat. Tak kira waktu ayam melonjak mahal pun, rakyat masih lagi beli ayam," katanya kepada Sinar Ahad.

Ahmad Azrin berkata, langkah mengawal harga ayam diperhebatkan Ismail Sabri sebelum ini menerusi Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) yang diperkenalkan pada 9 Februari lalu.

Artikel Berkaitan:

Menerusi kawalan itu, kerajaan dilaporkan menyediakan subsidi harga ayam dan telur ayam sebanyak RM729.43 juta kepada penternak bagi mengelak kenaikan harga di pasaran.

Namun, subsidi yang dituntut daripada penternak hanya RM200 juta dan majoritinya terdiri daripada penternak kecil serta didapati wujudnya kartel yang mengawal harga.

Dr Ahmad Azrin menegaskan, langkah kerajaan untuk mengawal harga itu tidak dapat menghasilkan impak seperti yang disasarkan disebabkan tindakan kartel penternak yang tidak membuat tuntutan subsidi.

Katanya, perbuatan itu jelas tidak membantu kerajaan untuk mengawal harga bekalan mentah tersebut hingga peniaga terpaksa menjual dengan tidak mengikut harga kawalan yang ditetapkan kerajaan.

Pensyarah Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu berkata, bagi meringankan beban rakyat dalam berdepan kenaikan kos sara hidup, Ismail Sabri pada Rabu lalu turut mengumumkan tambahan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) sebanyak RM100 bagi kategori isi rumah dan RM50 bagi golongan bujang.

"Tambahan bantuan tunai ini jelas dapat bantu rakyat dan saya yakin ia akan ditambah lagi pada masa akan datang mengikut keperluan rakyat berdasarkan kos sara hidup semasa.

"BKM ini adalah lanjutan daripada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperkenalkan BN pada 2012," katanya lagi.

Tambah baik sejak 2007

Sementara itu, pakar ekonomi dari Kolej Universiti i-CATS, Kuching, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, Ismail Sabri juga menaikkan jumlah subsidi minyak masak peket kepada RM4 bilion sekarang berbanding hanya RM500 juta diperuntukkan pada tahun 2020.

Jelas beliau, subsidi minyak peket itu merupakan inisiatif ketika zaman pentadbiran BN pada tahun 2007 dan ia diteruskan sehingga sekarang dengan penambahan peruntukan.

"Subsidi minyak masak botol pula diperkenalkan pada Ogos tahu lepas ketika negara dalam fasa endemik," ujarnya.

Untuk rekod, ketika zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH,) subsidi minyak masak dalam bentuk botol tidak pernah dilakukan.

Bagaimanapun, kata beliau, bagi memastikan subsidi minyak masak peket benar-benar sampai kepada golongan sasaran kerajaan perlu memastikan minyak peket yang dikeluarkan diberikan terus kepada penjual termasuk pasar raya.

"Ia tidak boleh diberikan kepada pemborong tertentu kerana ia akan menyebabkan subsidi tersebut tidak sampai kepada pengguna," tegasnya.

Mengulas lanjut tentang usaha yang telah dilakukan Ismail Sabri bagi membantu rakyat, Dr Shazali berkata, kerajaan juga menetapkan bahawa tarif elektrik dan air tidak akan dinaikkan yang sekali gus dapat membantu rakyat mengawal perbelajaan bulanan.

"Selain itu, walaupun ada ura-ura bahawa subsidi minyak petrol RON95 akan diberikan secara bersasar tetapi sekarang rakyat masih lagi menerima subsidi bagi RON95, diesel dan gas cecair petroleum (LPG) dalam tong untuk kegunaan domestik.

"Kerajaan di bawah pimpinan Ismail Sabri juga telah menetapkan pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,500 bermula 1 Mei lalu," jelasnya.

Ujarnya, secara keseluruhan pentadbiran Ismail Sabri masih meneruskan dan memberi nilai tambah terhadap pemberian subsidi dan bantuan bagi barang-barang keperluan utama rakyat.

"Langkah itu wajar diteruskan memandangkan negara masih lagi bergelut dengan pandemik Covid-19 yang ditambah buruk dengan krisis sekuriti makanan yang menyebabkan berlaku peningkatan kos sara hidup.

"Usaha yang dilakukan Ismail Sabri adalah untuk membantu rakyat yang sedang susah dan beliau sedaya upaya ambil pelbagai langkah untuk meringankan beban yang ditanggung," katanya lagi.