Negeri Sembilan himpit JDT

Matheus Alves (dua dari kanan) cuba melepasi pemain Sri Pahang, Azwan Aripin pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini. - Foto Bernama
Matheus Alves (dua dari kanan) cuba melepasi pemain Sri Pahang, Azwan Aripin pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

NEGERI Sembilan FC mengakhiri kemarau kemenangan saingan Liga Super setelah menjadikan Sri Pahang FC mangsa kebangkitan apabila melakar kemenangan 3-0 dalam perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pada Sabtu.

Anak buah K Devan yang sebelum ini dibelenggu ketumpulan penyudah bermula agresif seawal perlawanan, namun hanya berjaya merobek gawang Tok Gajah menerusi percubaan penyerang baharu Negeri Sembilan, Gustavo Almeida pada minit ke-35 untuk memimpin perlawanan pada babak pertama.

Babak kedua, skuad Rusa menggandakan asakan terhadap anak buah Christophe Gamel yang beraksi tanpa beberapa pemain utama yang masih dibelenggu kecederaan menambah jaringan menerusi Yashir Pinto pada minit ke-48.

Tonggak import dari Brazil, Matheus Alves kemudian menoktahkan tiga mata mutlak milik tuan rumah apabila menjaringkan gol ketiga tuan rumah pada minit ke-52 yang menewaskan penjaga gol Sri Pahang, Mamadou Samassa.

Tiga mata di Paroi, menyaksikan Negeri Sembilan kini mengumpul 19 mata, sama mata dengan pendahulu liga Johor Darul Ta'zim (JDT), namun dibezakan jaringan manakala Sri Pahang pula kekal dengan lapan mata selepas kedua-dua pasukan mengharungi 10 perlawanan.