Harap harga siling baharu ayam tidak membebankan

Pengumuman Perdana Menteri semalam untuk tidak mengapungkan harga ayam, disambut baik oleh golongan peniaga, pengguna dan pemain industri. - Gambar hiasan
Pengumuman Perdana Menteri semalam untuk tidak mengapungkan harga ayam, disambut baik oleh golongan peniaga, pengguna dan pemain industri. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam untuk tidak mengapungkan harga ayam, disambut baik oleh golongan peniaga, pengguna dan pemain industri.

Pada masa sama, mereka berharap harga siling ayam yang bakal diumumkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam waktu terdekat, tidak membebankan pengguna dalam berhadapan dengan kos sara hidup yang kian meningkat.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, langkah kerajaan itu dilihat sebagai usaha meringankan beban rakyat, dalam situasi peningkatan kos hidup.

Katanya, harga makanan merupakan isu yang dekat dengan rakyat dan pengapungan harga ayam boleh menyebabkan harga ayam berisiko mencecah sehingga belasan ringgit setiap kilogram.

"Pada masa yang sama FOMCA berharap harga siling baharu bagi ayam yang akan diumumkan selepas ini, mampu mewujudkan situasi menang-menang bagi semua pihak dengan kadar harga yang tidak membebankan pengguna dan penternak pula mampu menampung kos pengeluaran," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Semalam, Perdana Menteri ketika mengumumkan keputusan kerajaan untuk tidak mengapungkan harga ayam dalam usaha memastikan rakyat tidak terbeban, berkata harga siling baharu ayam akan diumumkan dalam masa terdekat Menteri MAFI Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Menurut Mohd Yusof, untuk tempoh jangka panjang, kerajaan perlu memastikan pengeluaran makanan ruji negara dipertingkat, supaya bekalan dan tahap sara diri negara lebih tinggi berbanding sekarang dan tidak perlu terlalu bergantung kepada import makanan.

Sementara itu di PERAK, seorang peniaga ayam, Muhammad Qusyairi, 30, berkata, pengumuman kerajaan untuk tidak mengapungkan harga ayam melegakan ramai pihak dan berharap kerajaan terus mendengar keluhan rakyat dalam isu berkaitan bekalan makanan.

Sementara seorang pemain industri ayam di negeri itu Megat Fitri Hazheem, 25, berkata, beliau berharap kerajaan memastikan harga siling ayam yang bakal diumumkan adalah mampu milik bagi semua orang.

"Apabila harga terlalu tinggi, pelanggan tidak mahu membeli ayam dan memilih untuk membeli ikan, udang dan sayur-sayuran. Jadi sudah tentu kami akan rugi. Bagaimanapun terima kasih kepada kerajaan kerana tidak meneruskan harga apungan untuk bekalan ayam," katanya.

Di MELAKA, Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Datuk Jeffrey Ng berkata, gangguan bekalan ayam sebelum ini, disebabkan permintaan yang tinggi pada musim-musim tertentu sahaja.

"Bekalan ayam kini sudah semakin stabil sebab musim perayaan dan kenduri sudah berakhir. Dijangka bekalan ayam beransur pulih selepas ini.

"Saya yakin ia (bekalan ayam) akan kembali normal, kerana penternak pun tidak mahu simpan ayam lama-lama dalam ladang. Itu lebih merugikan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu di PAHANG, peniaga ayam di Pasar Besar Kuantan Muhammad Fairuz Abdullah, 43, berkata, bekalan ayam kembali stabil, dengan pembekal dapat menghantar bekalan antara 450 ke 500 ekor sehari seperti yang diminta.

Katanya, ini ekoran bekalan ayam semakin banyak selepas kerajaan menghentikan eksport ayam mulai 1 Jun, menyebabkan peladang atau syarikat yang terlibat terpaksa memberi tumpuan kepada jualan tempatan.

"Kami juga sudah kembali memulakan operasi penghantaran ayam segar secara terus ke rumah pelanggan sejak beberapa hari lepas. Sebelum ini kami hentikan operasi itu, kerana bekalan tidak mencukupi," kata Muhammad Fairuz yang sudah enam tahun berniaga ayam segar.

Beliau juga berharap harga siling baharu yang akan diumumkan mengambil kira harga yang diterima mereka daripada pembekal, supaya peniaga masih boleh memperoleh keuntungan berpatutan tanpa perlu mengenakan upah potong kepada pelanggan.

Seorang pengusaha kedai makan di Kampung Melayu Subang Maliah Razak, 50-an, berkata. beliau ingin menunggu pengumuman harga siling baharu ayam, sebelum memutuskan untuk menjual semula nasi ayam di kedainya yang terhenti sejak kekurangan bekalan ayam dan harga ayam meningkat.

Pada masa ini kerajaan menetapkan harga maksimum runcit ayam Semenanjung Malaysia bagi ayam bulat standard pada RM8.90 sekilogram dan ayam bulat super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal) pada RM9.90 sekilogram. - Bernama