Stor simpan diesel bersubsidi diserbu

Minyak diesel sebanyak 16,980 liter dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Tanjung Sepat, Kuala Langat pada Jumaat.
Minyak diesel sebanyak 16,980 liter dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Tanjung Sepat, Kuala Langat pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LANGAT - Kegiatan penyelewengan diesel yang berselindung di sebalik premis stor di Tanjung Sepat di sini terbongkar selepas diserbu pada Jumaat.

Serbuan sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih pada jam 2.30 pagi itu berjaya menahan dua lelaki tempatan yang berperanan sebagai pemandu lori dan penjaga stor.

Menurut sumber, kegiatan itu dipercayai telah aktif sejak lebih dua tahun lalu.

"Diesel yang diseleweng ini dipercayai akan dijual kepada penggiat industri yang tidak boleh mendapatkan bahan api itu dengan harga subsidi," katanya.

Sebuah lori dirampas dalam serbuan di premis stor di Tanjung Sepat, Kuala Langat pada Jumaat yang dipercayai terlibat dalam penyelewengan diesel bersubsidi.
Sebuah lori dirampas dalam serbuan di premis stor di Tanjung Sepat, Kuala Langat pada Jumaat yang dipercayai terlibat dalam penyelewengan diesel bersubsidi.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Mohd Khairi Jamaludin berkata, kes terbabit kini sedang disiasat oleh pihaknya.

Katanya, sejumlah 16,980 liter diesel dan sebuah lori telah dirampas membabitkan nilai RM45,475.

"Dua suspek tempatan berusia 27 dan 42 tahun disiasat di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Tegasnya, siasatan lanjut juga dijalankan bagi mengenal pasti pemilik premis, transaksi pembelian dan jualan minyak diesel yang dijalankan.