Gelandangan sekitar ibu negara diselamatkan

Seramai 41 gelandangan (Sahabat Jalanan) diselamatkan dalam operasi bersepadu bermula tengah malam Jumaat sehingga awal pagi Sabtu
Seramai 41 gelandangan (Sahabat Jalanan) diselamatkan dalam operasi bersepadu bermula tengah malam Jumaat sehingga awal pagi Sabtu
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 41 gelandangan termasuk empat warga asing diselamatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama agensi-agensi lain dalam Operasi Bersepadu Menyelamat Gelandangan di sekitar ibu negara pada Sabtu.

Operasi dilaksanakan DBKL dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM), Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

DBKL menerusi satu kenyataan memaklumkan, pada operasi bersepadu bermula tengah malam Jumaat sehingga awal pagi Sabtu itu seramai 41 gelandangan (Sahabat Jalanan) telah diselamatkan.

Sebahagian Sahabat Jalanan ini dipindahkan ke Anjung Kelana, Taman Desa di sini
Sebahagian Sahabat Jalanan ini dipindahkan ke Anjung Kelana, Taman Desa di sini

Menurutnya, Sahabat Jalanan itu diselamatkan di Masjid India (6), Masjid Jamek (3), Segi College, Maybank Jejantas Pudu (4), Mydin Jalan Silang (8), Jalan Petaling, Bus Stand Klang dan Bangkok Bank (16), Jejantas Brickfields (1), CIMB Alka Ria (1) dan Jejantas Jalan Tengku Abdul Rahman (2).

"Sebahagian Sahabat Jalanan ini telah dipindahkan ke Anjung Kelana, Taman Desa iaitu 14 lelaki manakala seramai 20 lelaki dan tiga lagi wanita dilepaskan semula.

"Sementara itu, seramai empat gelandangan warga asing dibawa oleh pihak Imigresen untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut," kata kenyataan itu di laman Facebook DBKL pada Sabtu.