151 mangsa terjejas banjir di Kuala Langat, Klang

Seorang bayi antara mangsa yang dipindahkan ke PPS SK Telok Panglima Garang akibat kejadian banjir di daerah Kuala Langat, pada Jumaat.
Seorang bayi antara mangsa yang dipindahkan ke PPS SK Telok Panglima Garang akibat kejadian banjir di daerah Kuala Langat, pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 38 keluarga terdiri daripada 151 mangsa dilaporkan terjejas dalam banjir di daerah Kuala Langat dan Klang, pada Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, bagi daerah Kuala Langat, hujan berterusan sejak jam 2 pagi mengakibatkan kawasan di Telok Panglima Garang dinaiki air secara mendadak.

Menurutnya, lokasi yang terjejas adalah Jalan Perepat, Jalan Mengkuang 56; Taman Dato Hormat serta Jalan Telok Mengkuang.

"Kawasan di Telok Panglima Garang bagi daerah Kuala Langat ini membabitkan 145 mangsa terdiri daripada 37 keluarga.

Sepasukan anggota polis dan bomba bersiap siaga susulan kawasan di Klang yang terjejas banjir pada Jumaat.
Sepasukan anggota polis dan bomba bersiap siaga susulan kawasan di Klang yang terjejas banjir pada Jumaat.

"Satu pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Telok Panglima Garang telah dibuka pada jam 10.45 pagi dan telah menempatkan 16 mangsa termasuk seorang bayi dan dua warga emas daripada empat keluarga," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Tambah Sasikala, di Klang, satu keluarga di Kampung Sungai Pinang telah dipindahkan ke PPS Dewan Orang Ramai Kampung Teluk Nipah.

Katanya, keluarga ini terdiri daripada seorang lelaki, dua perempuan serta tiga kanak-kanak.

"Hasil pemantauan terkini mendapati situasi banjir kilat di dua daerah terlibat semakin pulih ekoran dari hujan yang telah berhenti sejak petang tadi. Dijangka menjelang malam, keadaan akan kembali pulih.

Polis Kuala Langat menjalankan pemantauan di kawasan Telok Panglima Garang susulan kejadian banjir yang melanda lokasi itu pada Jumaat.
Polis Kuala Langat menjalankan pemantauan di kawasan Telok Panglima Garang susulan kejadian banjir yang melanda lokasi itu pada Jumaat.

"Polis Selangor sentiasa bersiap siaga dalam menangani masalah banjir yang kerap terjadi sejak akhir-akhir ini. Selain itu, pihak polis juga mendapat kerjasama dari pelbagai agensi dalam usaha mengkoordinasi dan memberi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir," ujarnya.

Jelasnya, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Polis di setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bagi menyalurkan sebarang informasi jika berlaku situasi banjir di kawasan masing-masing.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, pihaknya menasihatkan kepada semua penduduk yang terjejas supaya mengunci semua pintu rumah yang ditinggalkan agar tiada berlaku kejadian jenayah sepanjang tempoh rumah ditinggalkan.