Ajal pulang dari sekolah

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
A
A
A

NILAI - Seorang pelajar Tingkatan Enam yang dalam perjalanan pulang ke rumah maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan di Jalan Nilai-Salak berhadapan Sekolah Kebangsaan Dato Ahmad Manaf di sini pada Jumaat.

Pemangku Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintendan Mat Ghani Lateh berkata, kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari itu dipercayai berlaku ketika mangsa cuba memotong sebuah lori.

"Mangsa dari arah Pekan Nilai cuba memotong sebuah lori dipandu lelaki berusia 31 tahun namun telah bergesel dengan sebuah kenderaan jenis tidak pasti dari arah bertentangan.

"Kejadian itu mengakibatkan mangsa terjatuh dan dilanggar pula oleh sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 26 tahun dan lori yang cuba dipotongnya," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Jumaat.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori dan kereta terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Siasatan lanjut masih diteruskan dan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diharap dapat menghubungi pegawai penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, Inspektor Siti Syarah Mahusain di talian 014-5144741 bagi membantu siasatan," katanya.