Harga barang naik: Penjaja, peniaga kecil terjejas mohon bantuan

Mohd Kholib (tengah) bersama pelajar Tahfiz Baitul Musthofa pada Majlis Tahlil dan Doa Selamat di Medan Selera Mergong, Alor Setar pada Khamis.
Mohd Kholib (tengah) bersama pelajar Tahfiz Baitul Musthofa pada Majlis Tahlil dan Doa Selamat di Medan Selera Mergong, Alor Setar pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR – Penjaja dan peniaga kecil di daerah ini memohon bantuan kewangan daripada kerajaan sama ada secara sekali beri (one-off) ataupun berbentuk pinjaman bagi meringankan beban mereka yang terkesan dengan kenaikan harga barangan.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Cawangan Kota Setar, Mohd Kholib Hamid mengakui menerima banyak aduan daripada penjaja dan peniaga kecil yang terbeban dan terpaksa menanggung modal tinggi ketika ini berikutan harga barangan melonjak secara mendadak.

Menurutnya, selain pemansuhan subsidi bahan tertentu bermula 1 Julai ini, penjaja dan peniaga kecil juga perlu memperuntukkan modal bahan mentah lebih banyak berbanding sebelum ini.

“Kami hormati tindakan kerajaan menyalurkan bantuan tambahan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) RM100 kepada isi rumah selepas subsidi bahan tertentu dimansuhkan.

"Bagaimanapun, ada sebahagian penjaja dan peniaga kecil yang memiliki rekod dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan tidak layak menerima bantuan BKM itu.

“Jadi, kami harap penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan SSM ini disalurkan bantuan kewangan supaya dapat ia boleh digunakan sebagai modal niaga ketika harga barangan naik melambung ketika ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Tahlil dan Doa Selamat anjuran Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Cawangan Kota Setar di Medan Selera Mergong di sini pada Khamis.

Alias Abu
Alias Abu

Sementara itu, seorang peniaga, Alias Abu, 48, mengakui amat terkesan dengan perkembangan ketika ini, sekali gus buntu dengan kenaikan harga barangan secara mendadak sebanyak beberapa kali.

“Dahulu, saya hanya perlu bawa sekitar RM200 untuk membeli barangan niaga, bagaimanapun sekarang kena bawa RM300 disebabkan banyak barang naik.

“Bayangkan, harga tepung RM1.30 sekilogram telah naik kepada RM2.70 sekilogram. Saya memerlukan lima kilogram (kg) tepung setiap hari, itu pun tidak termasuk kos barangan lain,” katanya.

Alias berkata, dia berharap kerajaan dapat memberi bantuan kepada peniaga seperti dirinya bagi membolehkan perniagaan diusahakan kembali pulih segera.

“Saya harap dapat bantuan kewangan berbanding pinjaman kerana bimbang tidak mampu membayar wang pinjaman sekiranya tidak dapat memperolehi pendapatan,” katanya.

Sebelum itu, Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Cawangan Kota Setar mendekati 100 pelajar Tahfiz Baitul Musthofa dengan menjamu mereka dengan makanan termasuklah 120 kilogram durian.