X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 02 Julai 2022

Bilangan warden asrama KPM ditambah, elaun naik 25 peratus

Mohd Radzi
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan pertambahan sebanyak 3,813 bilangan warden di sekolah berasrama di bawah kementerian itu.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pertambahan itu merupakan peningkatan sebanyak 63 peratus daripada 6,055 warden ketika ini kepada 9,868 orang.

“Dengan peningkatan jumlah warden asrama ini maka penggiliran jadual bertugas warden akan dapat dilaksanakan di semua sekolah berasrama bawah KPM,” katanya dalam satu video pengumuman di Facebooknya pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mohd Radzi berkata, KPM turut memutuskan untuk menaikkan kadar elaun bulanan warden asrama sebanyak 25 peratus menjadikan kadar baharu elaun diterima ketua warden kepada sebanyak RM350 manakala warden pula RM300.

Beliau berkata, kali terakhir kadar elaun warden itu disemak adalah pada tahun 1997.

Mohd Radzi berkata, kedua penambahbaikan itu yang akan mula dilaksanakan pada 1 Ogos ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak hampir RM19 juta.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini bagi pihak KPM untuk mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan di atas kelulusan yang telah diberikan kepada KPM bagi kedua penambahbaikan ini.

“Pada masa sama, KPM akan terus berusaha menambah baik portfolio warden asrama di sekolah asrama bawah KPM,” ujarnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!