17 bas kilang dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan

Antara bas kilang yang ditahan untuk pemeriksaan semasa Op Bas Kilang di Klang pada Rabu.
Antara bas kilang yang ditahan untuk pemeriksaan semasa Op Bas Kilang di Klang pada Rabu.
A
A
A

KLANG - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor mengambil tindakan ke atas 17 buah bas kilang selepas dikesan melakukan pelbagai kesalahan menerusi Op Bas Kilang di sini, pada Rabu.

Pengarah JPJ Negeri Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti dalam operasi bermula jam 4 petang itu adalah tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) serta lesen tamat tempoh.

Selain itu katanya, tayar haus berlebihan, masalah lampu signal, tatacara pemakaian pemandu serta pemeriksaan berkala Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) tamat tempoh.

"JPJ Selangor telah mengeluarkan Notis Larangan Penggunaan Kenderaan (PG1) untuk tindakan susulan.

"Tindakan turut diambil di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, JPJ Negeri Selangor sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas semua jenis kenderaan agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan.

Katanya, untuk sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan@JPJ berserta butiran pengadu dan butiran aduan.