KKM sasar setiap hospital negeri ada Pusat Sehenti Masalah Tidur

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

REMBAU - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan 13 hospital negeri dan 27 hospital pakar mempunyai Pusat Sehenti Masalah Tidur dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ketika ini terdapat empat hospital yang mempunyai Makmal Tidur tahap satu iaitu Hospital Putrajaya, Hospital Serdang, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sultanah Bahiyah.

"Jika ambil kira 13 hospital dengan kemudahan tahap satu dan 27 lagi tahap tiga atau empat, ia melibatkan kos RM1.5 juta.

"Pusat sehenti sebegini akan membolehkan rawatan pelbagai disiplin dapat dilaksanakan kerana masalah Obstructive Sleep Apnea (OSA) berkait rapat dengan pelbagai masalah komorbiditi lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Perkhidmatan Otorinolaringologi (ORL) dan Makmal Tidur Kluster Negeri Sembilan 2, di Hospital Rembau pada Khamis.

Menurutnya, masalah kesihatan yang dikenali sebagai gangguan tidur atau sleep apnea iaitu keadaan seseorang itu berhenti bernafas sewaktu tidur di negara ini didapati semakin meruncing.

Jelasnya, sekitar 15 hingga 30 peratus rakyat di negara ini menghidapi penyakit itu yang mana ia biasa dilihat dalam kalangan dewasa dengan masalah obesiti.

"Berdasarkan tinjauan kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2019 menunjukkan negara kita mempunyai rekod tinggi obesiti di Asia Tenggara dengan lebih kurang 50 peratus populasi dewasa kita dilaporkan mengalami berat badan berlebihan dan ini adalah membimbangkan.

"Gangguan tidur adalah sangat bahaya kerana ia bukan sahaja boleh menyebabkan kemalangan tetapi jika tidak dirawat, boleh menyebabkan penyakit kronik seperti darah tinggi, serangan jantung, lemah jantung serta angin ahmar," katanya.

Selain itu katanya, bilangan pesakit yang memerlukan ujian polysomnography atau lebih dikenali sebagai Sleep Study bagi mendiagnos sleep apnea semakin meningkat.

Khairy berkata, kekangan utama yang dihadapi oleh hospital-hospital yang mempunyai perkhidmatan ORL ialah kekurangan kemudahan untuk melaksanakan Sleep Study.

"Bilangan hospital yang mempunyai kemudahan ini juga terlalu sedikit bilangannya berbanding keperluan serta bilangan pesakit.

"Contohnya pesakit di Negeri Sembilan perlu menunggu lebih dari enam bulan untuk menjalani ujian Sleep Study di Hospital Serdang atau di Hospital Putrajaya.

"Oleh sebab itu, KKM amat komited untuk menambah baik perkhidmatan ini dengan meningkatkan kemudahan makmal tidur di semua hospital yang mempunyai kepakaran ORL," katanya.

Sementara itu katanya, perkhidmatan ORL dan Makmal Tidur diwujudkan di Hospital Rembau merupakan inisiatif di bawah Hospital Kluster yang merupakan sebahagian daripada program Transformasi Sistem Kesihatan KKM.

Tambah beliau, di Negeri Sembilan, hanya dua buah hospital menyediakan perkhidmatan kepakaran ORL iaitu Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) dan Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN).