Murid Tahun Satu maut kemalangan ke sekolah

Kereta yang dinaiki mangsa remuk selepas dirempuh sebuah lori di Jalan Krubong Tampoi, pada Khamis.
Kereta yang dinaiki mangsa remuk selepas dirempuh sebuah lori di Jalan Krubong Tampoi, pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - Seorang murid perempuan yang dalam perjalanan ke sekolah maut selepas kereta Perodua Kancil dinaiki terlibat kemalangan di Jalan Krubong Tampoi, di sini pada Khamis.

Dalam kejadian jam 8.15 pagi itu, mangsa, Nurul Qalisha Abdul Rahim, 7, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Cheng, meninggal dunia di lokasi kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, berdasarkan siasatan lanjut rakaman kamera papan pemuka yang diperoleh mendapati, kemalangan berlaku apabila Perodua Kancil dipandu bapa saudara mangsa, Fadzul Illahie Azmi, 29, dari arah Krubong hilang kawalan lalu berpusing masuk ke laluan bertentangan.

Menurutnya, dalam masa sama sebuah lori jenis Hino dipandu lelaki berusia 70 tahun dari arah Lebuh AMJ ke Krubong gagal mengelak dan merempuh kenderaan mangsa.

"Akibat pelanggaran itu mangsa yang duduk di bahagian belakang mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

"Bapa saudara mangsa mengalami luka di bahagian kepala manakala nenek mangsa, Norsiah Puteh berusia 58 tahun yang duduk di bahagian penumpang hadapan mengalami patah tangan.

"Kedua-dua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi di sini, pada Khamis.

Nurul Qalisha meninggal dunia di lokasi kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala.
Nurul Qalisha meninggal dunia di lokasi kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala.

Beliau berkata, pemandu lori bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.