Siapa keluarkan senarai ranking sekolah?

Mohd Radzi sebelum ini menyatakan bahawa KPM tidak pernah mengeluarkan ranking sebagai pengukur prestasi antara sekolah.
Mohd Radzi sebelum ini menyatakan bahawa KPM tidak pernah mengeluarkan ranking sebagai pengukur prestasi antara sekolah.
A
A
A

TIMBUL tanda tanya siapakah yang mengeluarkan senarai ranking sekolah selepas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyatakan bahawa tidak pernah berbuat demikian.

Selain daripada itu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin seharusnya menyiasat perkara tersebut dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Ini kerana sekiranya tiada tindakan dan dibiarkan begitu sahaja, perkara seperti itu akan berulang untuk tahun-tahun seterusnya.

Sekurang-kurangnya dengan mengambil tindakan sewajarnya, ia akan memberi peringatan kepada pihak yang mengeluarkan senarai ranking itu.

Mohd Radzi sebelum ini menyatakan bahawa KPM tidak pernah mengeluarkan ranking sebagai pengukur prestasi antara sekolah.

Menurutnya, jika ranking dikeluarkan oleh pihak lain, ia di luar bidang kuasa kementerian.

“Kami tidak dapat halang pihak lain di luar sana berusaha keras untuk dapatkan maklumat mengumpul sebarang ranking, tetapi KPM tak pernah keluarkan sebarang ranking keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Isu mengenai ranking timbul selepas Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali mendakwa bahawa sistem tersebut merupakan satu kesalahan besar dan KPM sepatutnya fokus dalam tugas mendidik pelajar.

“Ia serius mengelirukan dan menghantar isyarat yang salah kepada seluruh negara.

“Persekolahan bukan tentang peperiksaan,” katanya dalam hantaran di Facebooknya baru-baru ini.

Beliau berkata, semua sekolah perlu berupaya mendidik dan menghargai pelajar mereka dengan baik.