KPM tidak keluarkan ranking ukur prestasi sekolah

Mohd Radzi ketika sidang media Pengumuman Sasterawan Negara ke-15 di kementeriannya pada Rabu. - Foto Bernama
Mohd Radzi ketika sidang media Pengumuman Sasterawan Negara ke-15 di kementeriannya pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menegaskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak pernah mengeluarkan ranking sebagai pengukur prestasi antara sekolah.

Menurutnya, jika ranking dikeluarkan oleh pihak lain, ia di luar bidang kuasa kementerian.

"Kami tidak dapat halang pihak lain di luar sana berusaha keras untuk dapatkan maklumat mengumpul sebarang ranking, tetapi KPM tak pernah keluarkan sebarang ranking keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya.

Beliau berkata, pihak terbabit disaran menyemak fakta sebelum membuat sebarang ulasan kerana ia memberi kesan mendalam kepada keseluruhan sistem.

"Kita lihat hari pengumuman pun tiada disebut dalam laporan media namun ada pihak di luar sana ambil inisiatif mengeluarkan susun semua... Itu di luar bidang kementerian," katanya menerusi sidang akhbar sempena pengumuman penerima Anugerah Sastera Negara ke-15, di kementeriannya pada Rabu.

Mohd Radzi berkata demikian mengulas kenyataan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali yang menyarankan agar KPM menghentikan sistem penilaian berdasarkan kedudukan ranking sebagai pengukur prestasi antara sekolah.

Sistem itu disifatkannya sebagai satu kesalahan besar dan KPM sepatutnya fokus dalam tugas mendidik pelajar.

Sementara itu ditanya mengenai keperluan untuk memansuhkan mata pelajaran sejarah sebagai subjek wajib lulus SPM, Mohd Radzi berkata, tiada sebarang perancangan di dalam kementerian untuk berbuat demikian.

"Apa yang penting melihat apakah faktor-faktor penyumbang keputusan tersebut dan cari satu pendekatan intenvasi yang bersesuaian bagi memastikan anak-anak kita yang lahir dari sistem pendidikan dapat menguasai subjek sejarah sekali gus dapat mengurangkan jumlah kegagalan murid dari semasa ke semasa," katanya.

Keputusan SPM 2021 menunjukkan 70,455 pelajar yang gagal atau tidak menduduki peperiksaan tersebut.

Dalam masa sama, seramai 45,514 atau 11.91 peratus calon pula tidak layak mendapat sijil sama ada kerana tidak lulus mata pelajaran bahasa Melayu dan Sejarah.

Menyentuh mengenai dakwaan silibus Matematik Tahun Satu yang dikatakan aras tinggi sehingga membebankan guru dan pelajar, Mohd Radzi memberitahu, kementerian telah diarahkan untuk melihat perkara tersebut sama ada ia kompleks atau sesuatu yang tidak dibiasakan.

"Seperti yang saya sebut sebelum ini, pusingan pertama Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) akan tamat tahun ini jadi kita akan semak kembali silibus yang ada," ujarnya.