Shahril Sufian perjelas subsidi minyak masak, BKM

Shahril Sufian Hamdan
Shahril Sufian Hamdan
A
A
A

SHAH ALAM – Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri, Shahril Sufian Hamdan pada Rabu tampil menjelaskan mengenai kekhuatiran yang timbul tentang pengumuman mengenai subsidi minyak masak dan bayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).

Menurutnya, kerajaan tidak menarik subsidi sebaliknya mengalihkannya selain turut memberikan contoh mengenai perkara terbabit.

“Dalam hal ayam, kerajaan mengalih belanja subsidi dari penternak kepada pengguna melalui tambahan BKM RM100 kepada keluarga dan RM50 kepada bujang yang akan dimanfaatkan oleh 8.6 juta penerima,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Shahril yang juga Ketua Penerangan UMNO menambah, walaupun kerajaan memperuntukkan RM720 juta subsidi kepada penternak seperti diumumkan pada 9 Februari lalu, tetapi setakat 15 Jun hanya RM260 juta dimohon.

“Dari itu, RM168 juta yang telah dibayar kepada penternak berbanding RM638 juta akan diturunkan kepada penerima BKM.

“Bermakna dengan pendekatan ini, kerajaan belanja lebih daripada sebelumnya? Ya. Dan terus kepada pembeli yang memerlukan,” ujarnya.

Beliau dalam masa sama turut menjelaskan mengenai penternak yang ‘bising’ kerana hanya dibayar RM168 juta antaranya disebabkan ada dalam kalangan mereka yang tidak berlesen dan secara automatiknya tidak meminta atau mendapat subsidi yang asal.

“Ada juga penternak yang tidak mahu mengisytiharkan pengeluaran sebenar. Diakui, ada juga kelemahan dan birokrasi menyebabkan pembayaran lewat atau permohonan sukar,” katanya.

Shahril turut menyatakan bahawa aspek birokrasi terbabit perlu diperbaiki tetapi ia tidak akan menyelesaikan penternak yang tidak berlesen dan tidak mahu mengisytiharkan pengeluaran sebenar itu.

“Jadi masalah duit tak turun kepada sebahagian penternak tetap akan ada. Untuk jangka masa segera, kerajaan ambil keputusan pastikan belanja itu tetap sampai kali ini kepada pengguna,” jelasnya.

Menyentuh mengenai pengumuman BKM yang hanya melibatkan penerima daripada kalangan B40 dan tidak melibatkan M40 dan T20 yang turut terkesan, Shahril berkata, kerajaan terpaksa membuat pilihan siapa yang perlu diutamakan.

“Walaupun tidak menafikan kesan inflasi dirasai semua. Tetapi perbelanjaan subsidi bersifat pukal akan sentiasa lebih menguntungkan golongan berpendapatan tinggi.

“Mengikut Khazanah Research Institute, sekitar 60 peratus hingga 80 peratus subsidi di Malaysia dinikmati golongan berpendapatan tinggi. Dari RM1 subsidi kerajaan belanja, golongan B40 atau M40 hanya dapat 20 ke 40 sen sahaja,” katanya.

Shahril berkata, kerajaan juga sedang berusaha sedaya upaya bagi menangani keadaan semasa susulan peningkatan semua perkara.

“Realitinya, Malaysia tidak berseorangan dalam menghadapi cabaran ini. Negara lain di rantau ini seperti Filipina, Korea, Thailand dan Indonesia mengalami inflasi yang lebih tinggi.

“Kerajaan telah melaksanakan pelbagai perkara bagi ayam dari penghapusan permit import (AP), penghentian eksport dan lain-lain langkah,” katanya.

Selain itu katanya, akan ada pengumuman inisiatif meringankan bebanan kos sara hidup oleh kerajaan.