KPDNHEP rampas 4,500 liter diesel

KPDNHEP NS rampas 4,500 liter diesel dalam satu serbuan di sebuah stor haram yang dijadikan tempat kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi di Kampung Tan Sri Mohd Said, Jalan Labu pada Rabu. - Foto KPDNHEP NS
KPDNHEP NS rampas 4,500 liter diesel dalam satu serbuan di sebuah stor haram yang dijadikan tempat kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi di Kampung Tan Sri Mohd Said, Jalan Labu pada Rabu. - Foto KPDNHEP NS
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan merampas 4,500 liter diesel di sebuah stor haram yang dijadikan tempat kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi di Kampung Tan Sri Mohd Said, Jalan Labu, di sini pada Rabu.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Abd Muis Samsudin berkata, serbuan pada jam 1.45 petang itu turut menyita sebuah lori satu tan yang diubahsuai, tangki-tangki petak (square tank) dan peralatan digunakan untuk kerja-kerja pemindahan diesel dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM32,675.

"Ketika serbuan dijalankan, pasukan penguat kuasa KPDNHEP mendapati terdapat sebuah lori satu tan yang bertutup kanvas dalam keadaan yang mencurigakan.

"Lori berkenaan sedang memindahkan diesel bersubsidi daripada bahagian muatan lori menggunakan hos ke dalam tangki-tangki petak (square tank) sebagai tempat simpanan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebuah lori satu tan yang diubah suai turut disita dalam satu serbuan di Kampung Tan Sri Mohd Said, Jalan Labu pada Rabu. - Foto KPDNHEP NS
Sebuah lori satu tan yang diubah suai turut disita dalam satu serbuan di Kampung Tan Sri Mohd Said, Jalan Labu pada Rabu. - Foto KPDNHEP NS

Mengulas lanjut, Abd Muis berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat dua tangki petak yang diubahsuai di atas lori berkenaan manakala terdapat lima tangki petak berisi diesel ditemui di stor berkenaan.

"Semakan awal turut mendapati premis yang diserbu itu tidak mempunyai lesen sah atau apa-apa dokumen kebenaran daripada pengawal bekalan untuk menjalankan urusan barang kawalan bersubsidi diesel.

"Seorang lelaki warganegara tempatan berumur sekitar 30 tahun yang dipercayai bertanggungjawab di lokasi serbuan turut ditahan bagi membantu siasatan.

"Tindakan kes ini adalah hasil maklumat risikan yang telah dijalankan selama satu minggu oleh KPDNHEP Negeri Sembilan yang mendapati terdapat aktiviti pembelian diesel daripada stesen minyak oleh lori berkenaan dan disyaki berlaku aktiviti penghantaran serta penyimpanan di lokasi sasaran serbuan," katanya.

Beliau berkata, maklumat awal juga mendapati stor berkenaan telah beroperasi sebagai tempat penyimpanan sekitar dua bulan lalu.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan serta Seksyen 20 (1) Akta yang sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak dilesenkan.

"Kami akan terus menjalankan pemantauan dan tindakan terhadap penyelewengan diesel di negeri ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan sindiket ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan dan menasihatkan para peniaga supaya mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan oleh KPDNHEP di dalam jalan perniagaan dan perdagangan masing-masing.