Terengganu catat kadar pertumbuhan tahunan penduduk terendah

Mohd Uzir ketika sidang media pada Siri Jelajah Parlimen dan DUN: Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, pada Rabu. - Foto Bernama
Mohd Uzir ketika sidang media pada Siri Jelajah Parlimen dan DUN: Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Terengganu tergolong dalam lima negeri di Malaysia yang mencatat kadar pertumbuhan tahunan penduduk paling rendah iaitu sekitar 1.3 peratus.

Empat negeri lain ialah Melaka, Putrajaya, Wilayah Persekutuan Labuan dan Perlis.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzair Mahidin berkata, jumlah penduduk Terengganu pada 2020 ialah 1.15 juta orang, hanya mewakili tiga peratus daripada jumlah penduduk Malaysia seramai 32.4 juta orang.

"Terengganu mengalami fenomena kurang penduduk. Penurunan pertumbuhan tahunan penduduk antaranya didorong oleh penghijrahan masyarakat ke luar untuk aktiviti ekonomi.

"Bagaimanapun, dengan Pelan Induk Pembangunan Sejahtera 2030 (PITAS 2030) yang dilancarkan oleh kerajaan negeri, mungkin akan berlaku perubahan apabila lebih banyak peluang pekerjaan dapat disediakan di negeri ini pada masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan taklimat Siri Jelajah Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN): Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman pada Rabu.

Selain itu, Mohd Uzair berkata, kadar perbandaran Terengganu juga meningkat daripada 59.3 peratus pada 2010 kepada 64.2 peratus pada 2020.

Justeru, kerajaan negeri perlu memberi lebih perhatian kepada implikasi atau isu seperti kemiskinan bandar, peningkatan kos sara hidup rakyat dan penyediaan perkhidmatan bagi kesejahteraan penduduk.

"Sektor perkhidmatan merupakan penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Terengganu iaitu sekitar 53 peratus.

"Daripada 131.6 juta pelancong domestik seluruh negara, 7.4 juta pelawat disumbangkan oleh negeri Terengganu," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!