Subsidi minyak masak botol dimansuh sebab penyelewengan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Keputusan kerajaan untuk memansuhkan subsidi minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram bermula 1 Julai ini dibuat kerana banyak penyelewengan berlaku.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penyelewengan subsidi minyak ini banyak dilakukan pihak industri, komersial dan ia juga lebih mudah untuk diseludup.

Malah katanya, pelaksanaan subsidi minyak masak tulen botol yang bermula Ogos tahun lalu itu juga bersifat sementara bagi membantu meringankan beban rakyat susulan pandemik Covid-19.

“Jadi, melihat kepada penyelewengan yang berlaku dan sebagainya, maka kerajaan telah membuat keputusan iaitu tiada keperluan lagi untuk meneruskan subsidi minyak masak dalam botol kerana tidak lagi menepati objektif kita perkenalkan untuk membantu rakyat ketika pandemik Covid-19.

“Sekarang ini sudah tidak ada pandemik Covid-19, maksudnya bukan tidak ada tetapi kita telah berada di fasa peralihan endemik, di mana rakyat telah bebas keluar dan sebagainya. Jadi tiada keperluan lagi seperti sewaktu pandemik,” katanya pada sidang akhbar khas yang disiar secara langsung melalui stesen televisyen tempatan pada Khamis.

Menjelaskan lebih lanjut, Ismail Sabri berkata, pemberian subsidi minyak masa tulen botol itu sepatutnya hanya diberikan untuk tempoh tiga bulan tetapi ia diteruskan sehingga kini demi membantu meringankan rakyat.

Katanya, bagi pemberian subsidi itu, kerajaan menanggung kos sebanyak RM55 juta sebulan mulai Ogos tahun lalu.