Lima ahli geng curi kereta lama diberkas

PDRM
PDRM
A
A
A
AMPANG - Seramai lima individu termasuk seorang wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes curi dua buah kereta yang diletakkan di tepi jalan Bandar Baru Ampang di sini Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, hasil risikan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah menahan seorang peniaga berusia 42 tahun di Ampang pada Ahad.

"Hasil soal siasat ke atas suspek lelaki itu, kita telah pergi ke sebuah premis jual besi buruk di Kuala Lumpur.

"Kita merampas dua buah kereta jenis Mitsubishi Galant dan Mitsubishi Tredia yang disyaki dicuri, sebuah lori dan beberapa barang berkaitan kejadian curi kenderaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohamad Farouk berkata, susulan daripada serbuan itu, pihaknya menahan tiga lelaki dan seorang wanita berusia 20 hingga 40 tahun secara berasingan di Jinjang, Wangsa Maju dan Ampang pada hari sama.

"Modus operandi kumpulan itu adalah mencari kereta-kereta lama kemudian ditarik dan dijual untuk dijadikan besi buruk," katanya.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati dua daripada lima suspek itu masing-masing mempunyai lapan dan dua rekod lampau berkaitan dadah.

"Kesemua suspek ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," ujarnya.