Bekerjasama tingkatkan kesedaran pemerdagangan kanak-kanak

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - FGV Holdings Bhd (FGV) dan badan bukan kerajaan (NGO) Project Liber8 menganjurkan bengkel untuk menggalakkan kesedaran dan pemahaman mengenai isu pemerdagangan dan buruh kanak-kanak dalam kalangan kanak-kanak, sempena Hari Menentang Buruh Kanak-Kanak Sedunia.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, FGV memaklumkan bengkel itu disertai kira-kira 117 pelajar dan guru dari sekolah kebangsaan di Lahad Datu, Pusat Pembelajaran Komuniti (CLC) FGV dan 15 kakitangan daripada FGV.

"Menyedari kepentingan kesedaran dalam kalangan kanak-kanak mengenai pemerdagangan kanak-kanak, FGV telah memperakukan penggunaan Modul Advoc8 mengenai Pemerdagangan Kanak-Kanak dibangunkan oleh Project Liber8 yang akan dilaksanakan di seluruh CLC FGV.

"FGV dan Project Liber8 menekankan komitmen berterusan mereka untuk memainkan peranan bermakna dalam memupuk kesedaran dalam kalangan kanak-kanak dan menyumbang kepada penghapusan buruh kanak-kanak," menurut kenyataan itu.

Pengarah Sektor Perladangan Kumpulan FGV Mohd Sarian Md Sahid berkata, syarikat itu menghormati hak kanak-kanak dan komited untuk menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu termasuk menghapuskan buruh kanak-kanak.

"Kami menyedari bahawa perniagaan mempunyai tanggungjawab untuk memainkan peranan penting dalam hal ini dan FGV telah mengadakan pelbagai program dan inisiatif untuk mempromosikan hak dan perlindungan kanak-kanak termasuk penubuhan CLC dengan sokongan kerajaan Indonesia dan pembangunan dasar syarikat berkaitan," katanya. - Bernama