Pertuduhan tanam 17 pokok ganja babit Yasin kekal

Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu diberitahu bahawa pertuduhan menanam 17 pokok ganja membabitkan penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman kekal mengikut Seksyen 6B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu diberitahu bahawa pertuduhan menanam 17 pokok ganja membabitkan penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman kekal mengikut Seksyen 6B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
A
A
A

PETALING JAYA - Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu diberitahu bahawa pertuduhan menanam 17 pokok ganja membabitkan penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman kekal mengikut Seksyen 6B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketika prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Jamaludin Mat, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah mengesahkan bahawa, pihak pendakwaan telah menerima laporan kimia, pada petang Selasa.

"Jadi untuk kes ini, pertuduhan adalah kekal dan pihak kami mohon agar mahkamah dapat menetapkan tarikh sebutan kes bagi serahan dokumen kepada pihak pembelaan," katanya.

Mendengar perkara itu, peguam, Ariff Azami Hussien yang mewakili pelantun lagu Mimpi Laila atau lebih dikenali sebagai Yasin, tidak membantah permohonan tersebut.

"Terima kasih kepada mahkamah dan pihak pendakwaan kerana laporan kimia siap dalam masa yang singkat.

"Mohon agar mahkamah dapat menetapkan tarikh yang lebih singkat, dua minggu, jika memadai," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, hakim Jamaludin menetapkan 6 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Pada 31 Mac lalu, Yasin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menanam 17 pokok disyaki kanabis (ganja) di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini, jam 5.30 petang, 24 Mac lalu.

Berikutan itu pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B (3) akta sama yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, ketika prosiding di Mahkamah Majistret di sini, Majistret Zhafran Rahim Hamzah menetapkan 6 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi pertuduhan mengedar dadah berbahaya jenis ganja anggaran berat 214 gram.

Mahkamah menetapkan tarikh itu selepas Mohd Asnawi selaku pihak pendakwaan akan membuat siasatan lanjut berhubung pertuduhan yang dikenakan terhadap penyanyi itu.

"Saya ingin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak kami sudah mendapat laporan kimia berhubung kes ini, pada petang Selasa.

"Kami akan buat siasatan lanjut dan keputusannya akan diberitahu pada 6 Julai depan," katanya.

Majistret Zhafran Rahim Hamzah kemudiannya menetapkan tarikh sebutan kes sama seperti di Mahkamah Sesyen di sini.

Selain Ariff Azami, Yasin turut diwakili oleh peguam, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff dan Azizul Syariman Mat Yusoff.

Penyanyi itu didakwa mengedar dadah berbahaya jenis ganja anggaran berat 214 gram di lokasi, masa dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum 39B (2) akta sama yang memperuntukkan penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Ketika sidang media, Mohd Yusmadi berkata, anak guamnya memerlukan rawatan pakar untuk penyakit bipolar yang dihidapinya di hospital yang mempunyai rekod kesihatan terdahulu.

“Saya difahamkan Yasin sudah dibawa sekali ke Hospital Sungai Buloh, tetapi lebih baik jika Yasin dapatkan rawatan pakar di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Hospital Pantai Kuala Lumpur, yang mempunyai rekodnya.

“Dalam hal ini juga, pihak penjara memahami keadaan Yasin dan membekalkan ubat kepadanya melalui penyeliaan pihak terbabit, ia sudah tentu akan membantu Yasin,” katanya.