Yasin Sulaiman berdepan hukuman gantung sampai mati

Yasin dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Khamis bagi menghadapi dua pertuduhan kes berkaitan dadah.
Yasin dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Khamis bagi menghadapi dua pertuduhan kes berkaitan dadah.
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini, pada Khamis atas dua pertuduhan menanam 17 pokok disyaki ganja dan mengedar dadah jenis sama, minggu lalu.

Yasin, 47, didakwa menanam 17 pokok kanabis dalam pasu plastik berisi tanah boleh diperolehi sama ada secara terus atau secara tidak langsung.

Bagaimanapun, penyanyi yang popular dengan lagu Mimpi Laila itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Kota Damansara jam 5.30 petang, 24 Mac lalu.

Ia merupakan suatu kesalahan di bawah seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B (3) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang daripada enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Penyanyi itu turut didakwa mengedar dadah berbahaya jenis ganja anggaran berat 214 gram di lokasi, masa dan tarikh sama.

Dia dituduh di bawah Seksyen 39B(1)(a) ADB dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) akta sama.

Jika disabitkan kesalahan hendaklah dijatuhi hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, perlu disebat tidak kurang 15 kali.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Selangor, Mohammad Al-Saifi Hashim manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff.

Semasa prosiding, Mohammad Al-Saifi tidak menawarkan ikat jamin kepada tertuduh kerana pertuduhan itu termasuk dalam kes yang tidak boleh dijamin.

"Dia dikenakan pertuduhan di bawah seksyen yang mana bentuk hukuman yang boleh dijatuhkan jika didapati bersalah, ialah penjara seumur hidup maka tidak wajar sekiranya dia diberi ikat jamin," katanya.

Namun, Mohd Yusmadi merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar yang sesuai.

“Dia baru sahaja bercerai dan mempunyai dua anak, maka saya mohon mahkamah membenarkan ikat jamin dengan mengambil kira tahap kesihatannya.

"Dia merupakan seorang selebriti yang memberi banyak sumbangan kepada umum, malah kebiasaannya menjelang Ramadan dia berkarya dan memberi inspirasi positif kepada masyarakat," katanya.

Bagaimanapun, kedua-dua mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 18 Mei depan untuk serahan dokumen.

Minggu lalu, Sinar Harian melaporkan, penyanyi itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes dadah, dipercayai dijalankan hampir dua bulan.

Kegiatan itu berjaya dikesan menerusi serbuan yang dijalankan sepasukan anggota dan pegawai polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.