'Pablo Escobar Brazil' ditangkap kerana dadah

Sergio Roberto de Carvalho - Foto Twitter
Sergio Roberto de Carvalho - Foto Twitter
A
A
A

RIO DE JANEIRO - Seorang lelaki, Sergio Roberto de Carvalho yang juga pengedar dadah dan terkenal dengan gelaran 'Pablo Escobar Brazil' ditangkap di Hungary pada Selasa.

Carvalho berjaya ditangkap selepas lebih setahun diburu oleh pihak berkuasa kerana dia merupakan salah seorang penyeludup dadah.

Dia yang turut dikenali sebagai 'Datuk Bandar Carvalho' ditangkap dengan kerjasama Interpol dan polis Hungary serta Brazil.

Pihak polis Brazil menyifatkan lelaki itu sebagai salah seorang penyeludup dadah antarabangsa yang terbesar.

Menurut media Brazil, Carvalho adalah bekas anggota polis yang pernah lama tinggal di Eropah dengan menggunakan identiti palsu.

Dia pernah ditangkap di Sepanyol tetapi dibebaskan selepas membayar ikat jamin dan kemudian memalsukan kematiannya akibat Covid-19 pada tahun 2020, lapor TV Globo pada tahun lepas.

Polis berkata, lebih daripada 500 juta real (RM429 juta) telah dirampas daripada organisasi jenayah yang didakwa dipimpin Carvalho.

Organisasi itu dituduh menyeludup banyak kokain ke Eropah melalui Brazil.

Pablo Escobar pula pengedar dadah yang telah meninggal dunia di Colombia. - Agensi